Anda di sini

Yatim gembira dengan kemajuan prestasinya

Advertisement
YATIM
YATIM

KOTA KINABALU: Atlet triathlon kebangsaan Sabah, Yatim Zainal Abidin berpuas hati dengan perkembangan prestasinya dalam persiapan menghadapi perlumbaan The Championship di Samorin, Slovakia penghujung bulan Mei 2021.

"Setakat ini semuanya berjalan lancar," kata atlet berusia 44 tahun yang akan bertanding buat julung kalinya dalam perlumbaan dunia itu ketika dihubungi malam semalam.

Yatim akan mengambil bahagian dalam pertandingan kumpulan umur individu kategori jarak sederhana yang melibatkan acara renang 1.9km, berbasikal 90km dan larian 21.2km.

Beliau berkata, prestasinya meningkat dalam semua acara iaitu renang berbasikal dan larian selepas menjalani latihan berterusan termasuk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Setakat ini, saya fikir sudah di tahap lapan dari 10 tahap...saya gembira dengan perkembangan prestasi saya," katanya.

Di sebalik perkembangan baik prestasinya itu, Yatim merasakan ada elemen penting yang kurang iaitu tidak adanya kejohanan atau perlumbaan sebagai pemanas badan dan boleh menjadikan persiapannya lebih baik.

"Satu kekurangan dalam persiapan saya ialah perlumbaan. Jadi, apa yang boleh saya lakukan adalah terus bekerja keras dalam latihan," katanya.

Beliau berkata, tempoh latihannya kini telah dikurangkan dari tujuh hari kepada  enam hari seminggu bagi mengelakkan risiko mengalami kecederaan  dengan kejohanan akan berlangsung dalam tempoh tiga bulan lagi.

"Kejohanan itu semakin hampir. Saya mahu mengelak dari mengalami kecederaan semasa latihan.

"Saya akan cuba memberikan yang terbaik dan ia bermula dari latihan...satu saja harapan saya sekarang iaitu agar kejohanan itu akan berlangsung seperti yang dijadualkan selepas beberapa kali ditunda sebelum ini ekoran krisis COVID-19," katanya.

The Championship pada awalnya dijadualkan berlangsung pada 31 Mei 2020 tetapi ditunda disebabkan krisis COVID-19 yang telah melanda seluruh dunia sejak penghujung tahun 2019.

Pada mulanya, ia ditunda ke 16 Ogos 2020 tetapi penganjur kemudiannya memutuskan untuk hanya menganjurkannya pada 22-23 Mei 2021.

Yatim layak ke kejohanan dunia itu selepas menduduki tempat keempat kategori kumpulan umur 40-44 tahun lelaki di edisi keempat Cabaran Iskandar Puteri, Johor pada November 2019.

  • oleh
  • Advertisement