Anda di sini

West Ham benam Sheffield, tingkat peluang ke Liga Juara-Juara

Advertisement
 Ryan Fredericks menjaringkan gol ketiga buat West Ham pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara  West Ham United dan Sheffield United di Stadium The London, London, kelmarin. — Gambar AFP
LEDAK: Ryan Fredericks menjaringkan gol ketiga buat West Ham pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara West Ham United dan Sheffield United di Stadium The London, London, kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: West Ham United meningkatkan peluang untuk memburu kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan apabila menewaskan kelab tercorot, Sheffield United 3-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Isnin.

Skuad kendalian David Moyes itu meraih  kemenangan keenam dari lapan perlawanan liga terakhir apabila mudah menguasai lawan di Stadium London.

Kecederaan Michail Antonio bermakna West Ham memulakan perlawanan tanpa penyerang dikenali.

Tetapi penyerang pinjaman dari Manchester United, Jesse Lingard, tetap menyengat ketika gol dari Declan Rice, Issa Diop dan Ryan Fredericks meletakkan West Ham di tangga keempat buat seketika sebelum tercicir ke tangga kelima dengan perbezaan gol selepas Chelsea menewaskan Newcastle 2-0, namun Moyes sudah melakukan tugas yang luar biasa  untuk membawa pasukannya bersaing kelayakan ke kejohanan di Eropah.

“Ia hebat kerana pada waktu ini tahun lepas, kami bersaing untuk mengelak penyingkiran,” kata Moyes.

“Saya tidak mahu menolak, kami belum pasti di empat tangga teratas tetapi saya juga tidak berkata kami tidak mampu mempunyai cita-cita.

“Saya tidak fikir kami akan tersingkir dengan jumlah keseluruhan mata tetapi saya pasti kami tidak akan membuat kenyataan bodoh berkata tentang sesuatu yang gagal kami capai.”

Minggu lepas, Moyes merungut kerana pasukannya adalah satu-satu pasukan dalam Liga  Perdana yang tidak diberikan tendangan penalti setakat musim ini.

Doa beliau hampir terjawab seawal minit kelima apabila Craig Dawson, dari tendangan percuma Rice, ditolak oleh Enda Stephens dalam kotak penalti.

Pengadil perlawanan, Simon Hooper memberikan tendangan penalti tetapi panel video bantuan pengadil (VAR) membatalkannya kerana Dawson berkedudukan ofsaid apabila Rice melakukan tendangan awal.

Moyes bagaimanapun tidak menunggu lebih lama untuk memadam badi tendangan penalti pasukannya.

Lingard, yang kembali ke dalam skuad selepas tidak diturunkan ketika menentang kelab asal Manchester United dalam aksi Piala FA, menyerlah di posisi sayap kiri dan dua kali menguji penjaga gol Sheffield, Aaron Ramsdale.

Dan lima minit sebelum rehat, Lingard merampas bola dari  Oliver Norwood, melakukan larian deras dan bertukar hantaran dengan Jarrod Bowen sebelum dijatuhkan oleh Chris Basham dalam kotak penalti, sekali gus menamatkan badi tanpa penalti mereka musim ini.

Lingard mahu mengambil sepakan penalti itu tetapi kapten pasukan, Rice menyempurnakannya untuk gol pertama beliau musim ini dan juga penalti pertama dalam kerjayanya.

David McGoldrick hampir mengikat kedudukan buat Sheffield tetapi cubaannya hambar.

Kegagalan McGoldrick itu membawa padang apabila Diop menjaringkan gol kedua West Ham dari tendangan sudut Aaron Cresswell sebelum Fredericks melengkapkan jaringan pada minit kecederaan. — AFP

Advertisement