Anda di sini

Dua suspek kes gaduh, positif COVID-19

Advertisement
Berita mengenai penangkapan suspek kes pergaduhan Jalan Green.
Berita mengenai penangkapan suspek kes pergaduhan Jalan Green.

KUCHING: Dua suspek kes pergaduhan di Jalan Green, di sini pada Ahad lepas disahkan positif COVID-19 hari ini selepas menjalani saringan pada Isnin (15 Feb).

Perkara tersebut disahkan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail sambil menambah dua suspek terbabit telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.

"Kedua-dua suspek disahkan positif COVID-19 dan mereka telah diambil oleh KKM untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, beberapa anggota polis yang terbabit dalam pengendalian kes terbabit dari tiga Balai Polis iaitu Gita, Sekama dan Tabuan Jaya juga diarahkan menjalani saringan COVID-19 dan dikuarantin.

"Pagi ini, KKM telah datang ke tiga buah Balai Polis iaitu di Gita, Sekama serta Tabuan Jaya. Semua kontak rapat, polis iaitu anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), pengiring, penjaga lokap akan diuji dan diarahkan kuarantin," katanya.

Bagaimanapun, jumlah sebenar anggota polis dan kontak rapat suspek yang diarahkan dikuarantin belum disahkan KKM.

Sembilan lelaki suspek pergaduhan pada Ahad ditangkap polis pada hari berikutnya.

Siasatan awal polis mendapati punca pergaduhan adalah disebabkan seorang wanita.

Bagaimanapun siasatan polis berhubung kejadian masih dijalankan.
 

Advertisement