Anda di sini

Chelsea tewaskan Newcastle, lonjak tangga keempat liga

Advertisement
 Pemain pertahanan Chelsea Marcos Alonso (dua kanan) melakukan tandukkan pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Chelsea dan Newcastle United  di Stamford Bridge, London, kelmarin. — Gambar AFP
PERCUBAAN: Pemain pertahanan Chelsea Marcos Alonso (dua kanan) melakukan tandukkan pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Chelsea dan Newcastle United di Stamford Bridge, London, kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Timo Werner menamatkan kemarau gol beliau dalam Liga Perdana Inggeris ketika Chelsea mengesahkan kemenangan 2-0 ke atas Newcastle United, sekali gus melonjak skuad  ‘The Blues’ itu ke tangga keempat liga pada Isnin.

Werner menjaringkan gol pada lewat separuh masa pertama perlawanan di Stamford Bridge selepas mengumpan bola kepada Oliver Giroud untuk gol pertama.

Ia adalah saat yang menggembirakan buat Werner, yang mengharungi 14 perlawanan liga tanpa gol sejak menjaringkan gol ketika menentang Sheffield United pada bulan November.

Gol terakhir penyerang berusia 24 tahun itu pada 19 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan itu adalah ketika menentang kelab kerdil Morecambe dalam aksi Piala FA Inggeris.

Werner diangkat sebagai salah seorang penyerang muda terbaik di Eropah selepas perpindahan bernilai 50 juta pound dari RB Leipzig pada penutup musim.

Pujian itu kelihatan tidak wajar semasa musim pertama yang sukar di England, tetapi gol ke-10 beliau bersama Chelsea melengkapkan prestasi memberangsangkan yang membayangkan ada banyak lagi yang akan datang.

“Sebagai penyerang, anda sentiasa  mahu menjaringkan gol. Bulan lepas adalah sukar, saya berasa tidak gembira. Hari ini saya gembira kerana menjaringkan gol,” kata Werner, yang memuji peranan  pengurus, Thomas Tuchel dalam prestasinya.

“Ia membantu saya apabila ada orang boleh berteriak kepada saya dalam bahasa Jerman! Beliau (Tuchel) seorang yang baik dan mempunyai idea yang baik tentang bola sepak yang kami mahu main.”

Tuchel menambah: “Timo cukup bermakna dengan satu gol dan satu umpanan gol. Saya sangat gembira dengan semua ini dan beliau bekerja-keras dalam beberapa perlawanan terakhir.”

Tuchel masih belum tewas dalam enam perlawanan sejak menggantikan Frank Lampard yang dipecat pada bulan Januari, dengan lima kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan mencadangkan bekas jurulatih Paris Saint Germain (PSG) itu mungkin terbukti satu pelantikan yang tepat.

Chelsea akan kembali memburu tempat ke Liga Juara-Juara musim hadapan – syarat minimum untuk seorang pengurus Chelsea – selepas memintas West Ham United dengan kelebihan gol.

Skuad Tuchel juga dua mata di atas rakan senegaranya, Jurgen Klopp, yang mana  kelabnya Liverpool kini tercicir ke tangga keenam liga.

“Empat tangga teratas adalah sasaran dan mengekalkan sasaran itu adalah penting kerana ada banyak pasukan lain di belakang kami yang memburu tempat ini,” kata Tuchel.

“Kami sudah mengutip banyak mata dan ia tetap satu cabaran yang besar kerana banyak lagi perlawanan akan datang. Kami bermain dengan baik menentang pasukan dari atas sehingga di bawah, setiap perlawanan adalah sukar dan kami akan terus bersaing.”

Cesar Azpilicueta hampir membuka jaringan lebih awal apabila menewaskan penjaga gol Newcastle, Karl Darlow tetapi bola sempat dikeluarkan Dwight Gayle sebelum melepasi garisan gol.

Tammy Abraham dikeluarkan lebih awal kerana kecederaan dan diganti oleh Giroud.

Werner juga mempunyai peluang awal untuk menjaringkan gol apabila menanduk hantaran Marcos Alonso tetapi bola sedikit tinggi.

Werner bagaimanapun mengumpan bola kepada Giroud untuk membuka jaringan pada minit ke-31.

Tidak lama selepas mendapat rawatan kerana luka di bibir, Werner melepasi kawalan Emil Krafth sebelum mengumpan bola ke kotak penalti yang disempurnakan Giroud.

Dengan Chelsea berada di prestasi terbaik, Werner akhirnya menamatkan kemarau gol pada minit ke-39.

Tendangan sudut Mason Mount ditepis terkena palang dan bola muntah ditolak masuk oleh Werner dari jarak dekat, dan menanti beberapa saat sebelum meraikan golnya ketika panel video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan bola tidak terkena tangan Giroud sebelum gol dijaringkan.

Selepas 100 minit dan 31 cubaan, Werner akhirnya tersenyum lebar.

Penjaga gol Kepa Arrizabalaga diturunkan untuk penampilan kesebelasan utama yang keempat beliau musim ini dan yang pertama dalam liga sejak bulan Oktober.

Kepa membalas kepercayaan Tuchel apabila menepis satu tendangan percuma Jonjo Shelvey dalam separuh masa kedua.

Walaupun bangkit di bawah kendalian Tuchel, Chelsea masih belum mampu menarik nafas lega kerana Newcastle mendedahkan beberapa masalah di benteng pertahanan namun ketangkasan Kepa membantu mengelak pintu gol dari dibolosi. — AFP

Advertisement