Anda di sini

Urus dan didik pesakit penyakit tak berjangkit dalam norma baharu

Advertisement
Gambar fail Bernama
Gambar fail Bernama

Oleh Muhammad Basir Roslan

PENYAKIT tak berjangkit yang sering disebut ringkas NCD (non-communicable disease) adalah dalam kalangan "pembunuh utama" di banyak negara, malah sebelum pandemik COVID-19 merebak luas di seluruh dunia.

Pada masa ini dilaporkan, pesakit NCD menyumbang 70 peratus kepada kematian COVID-19 di Malaysia, dan pihak berkuasa perlu memberi perhatian segera kepada situasi ini serta faktor risikonya.

Para profesional perubatan berkongsi pandangan yang sama iaitu pesakit, penjaga pesakit serta masyarakat perlu diperkasakan untuk mengurus kesihatan mereka terutama ketika negara dilanda pandemik COVID-19 ini.

Oleh yang demikian, amatlah penting untuk pesakit memahami dan mampu mengendalikan tahap kesihatan mereka dalam kehidupan normal baharu dan mengapa mereka berhadapan dengan risiko tinggi jangkitan COVID-19.

BAGAIMANA MENANGANI PENYAKIT DARAH TINGGI?

Institut Kajian Klinikal (ICR), institut penyelidikan di bawah naungan Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) baru-baru ini mendapati sekitar 55 peratus kematian COVID-19 berlaku dalam kalangan individu yang menghidapi tekanan darah tinggi.

Dalam beberapa kajian menunjukkan pesakit yang menghidapi penyakit kardiovaskular termasuk darah tinggi berkemungkinan dijangkiti COVID-19, malah boleh maut kerananya.

Mereka yang menghidap penyakit darah tinggi dan tidak diurus dengan baik juga menanggung risiko tinggi berbanding mereka yang mengawal penyakit mereka dengan mengambil ubat.

Perunding Kardiologi, Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), Dr Choo Gim Hooi memberitahu Bernama, ketika negara dilanda pandemik COVID-19, didapati banyak berlaku kematian berkait dengan penyakit kardiovaskular, seperti strok dan serangan jantung.

"Bimbang dijangkiti COVID-19, ada pesakit yang mengurangkan pertemuan dengan doktor mereka atau membatalkan pertemuan atau tidak mengambil tambahan preskripsi ubat.

"Oleh itu, saya ingin menggalakkan semua pesakit darah tinggi untuk terus berjumpa dengan doktor mereka terutama sekiranya mereka berasa tidak sihat, patuh pertemuan susulan dengan doktor dan jangan abai ambil ubat," kata beliau, ketika dihubungi baru-baru ini.

Dr Choo turut mengingatkan pesakit darah tinggi akan empat perkara untuk diberi perhatian sepanjang pandemik COVID-19 ini.

“Seperti anggota masyarakat yang lain, amalkan penjarakan fizikal, pakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan dengan cecair sanitasi tangan. Yang kedua, tingkatkan imun anda dengan mengamalkan pemakanan yang sihat, kerap bersenam, cukup rihat dan tidur serta kawal berat badan.

“Berikutnya, ingat untuk jumpa doktor untuk kunjungan lanjutan dan ambil ubat seperti preskripsi doktor. Akhir sekali, lindungi diri anda dengan vaksin bila sudah ada, " katanya.

ASMA DAN COVID-19

Bukan itu sahaja, individu yang mempunyai penyakit pernafasan seperti asma perlu lebih berhati-hati dan cara terbaik untuk pesakit mengelakkan komplikasi adalah dengan memastikan asma mereka terkawal dan patuh dengan pengambilan ubat.

Menurut Pakar Perunding Pulmonolgi, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Helmy Haja Mydin, terdapat dua bentuk ubat sedutan asma - ubat pengawal dan ubat pelega.

“Ubat pelega untuk memberi kelegaan segera dengan membuka saluran udara tetapi tidak mengubat punca radang dalam saluran udara pesakit. Di sini peranan ubat pengawal. 

“Pesakit perlu menggunakan ini dengan kerap, setiap hari, meskipun mereka rasa sihat, supaya dapat radang dapat dikawal. Ini juga membantu mereka tidak terlalu terkesan dengan sebarang faktor pencetus atau rangsangan di sekeliling mereka, ” katanya.

Beliau menambah, perkara yang menjadi kebimbangan adalah ramai rakyat Malaysia tidak mengawal penyakit asma mereka dengan baik, kerana tidak patuh dengan pengambilan ubat atau menggunakan alat penyedut dengan cara yang salah.

"Pesakit perlu menggunakan alat penyedut pada masa yang betul dan teknik yang betul. Ini penting untuk meminiumkan komplikasi dari COVID-19 dalam konteks asma,” katanya.

Sebagai tambahan, Dr Helmy berkata pesakit juga perlu mengenal pasti faktor pencetus asma mereka, dan ini mungkin agak mencabar bagi sesetengah orang, kerana pembasmi kuman juga berpotensi mencetus serangan asma.

Beliau turut menasihatkan, bagi mengurangkan risiko pencerus, pesakit mungkin boleh menimbangkan anggota keluarga yang tidak mempunyai asma untuki membantu membersihkan rumah dan mengelakkan diri daripada memasuki mana-mana bilik yang sedang dibersihkan.

MENGURUSKAN PESAKIT PSORIASIS

Mereka yang menghidap penyakit kulit kronik, psoriasis, juga berhadapan dengan risiko dijangkiti COVID-19 dan menyebabkan penyakit mereka menjadi teruk kerana kerap mencuci tangan dengan pencuci sanitasi.

Persatuan Dermatologi Malaysia (PDM) juga mendedahkan bahawa kondisi ini memberi kesan kepada sekitar 500,000 hingga 800,000 penduduk Malaysia.

Sementara itu, Yayasan Psoriasis Kebangsaan berkata, isu berkenaan mungkin nampak sebagai 'isu kosmetik' tetapi ia adalah penyakit autoimun yang meningkatkan keradangan, dan penghasilan sel kulit yang berlebihan, apabila sistem imun pesakit terlebih aktif.

Penyakit kulit kronik ini sememangnya mencetuskan ketidakselesaan dan juga dikaitkan dengan penyakit lain seperti diabetes dan obesiti, dan semuanya meletakkan pesakit kepada risiko lebih tinggi dijangkiti COVID-19.

Pakar Perunding Dermatologi, Hospital Gleneagles Hospital, Dr Peter Ch’ng berkongsi bahawa ramai orang mungkin mengalani tekanan tambahan sepanjang tempoh pandemik COVID-19 ini dan yang malangnya, ia mungkin menjadi punca pencetus untuk pesakit psoriasis.

“Disyorkan agar individu yang menghidap psoriasis untuk cuba menguruskan stres atau tekanan mereka dengan lebih berkesan. Elakkan merokok atau mengambil alkohol kerana ini akan memburukkan penyakit psoriasis anda. Jika anda ada kebimbangan, tolong hubungi pakar dermatologi anda untuk mendapat nasihat yang sewajarnya, ” katanya.

Pesakit perlu mematuhi prosedur operasi standard seperti orang lain yakni menjaga penjarakan fizikal, memastikan tangan mereka sentiasa bersih dan memakai pelitup mula apabila berada di tempat awam.

Sebagai alternatif, pesakit psoriasis boleh mencuci tangan mereka dengan sabun alahan hipo, daripada mengguna pencuci sanitasi kerana ini mengurangkan kegatalan.

Kerap juga menggunakan pelembap bagi membantu memberi kelegaan, terutama sekiranya pelembap atau krim tidak mengandungi sebarang kimia yang berbahaya atau haruman yang boleh menjadi faktor pencetus. - Bernama 

Advertisement