Anda di sini

Sayangilah gajah pygmy Borneo

Advertisement

Rencana dua bahagian ini adalah mengenai gajah pygmy Borneo yang sering menjadi buruan dan mangsa pembunuhan.

Bahagian satu, antaranya wawancara penulis dengan Pengarah Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga.

Sekumpulan gajah Borneo atau lebih dikenali sebagai gajah pygmy yang mencari makanan di tebing Sungai Kinabatangan berhampiran Kampung Bilit.
Sekumpulan gajah Borneo atau lebih dikenali sebagai gajah pygmy yang mencari makanan di tebing Sungai Kinabatangan berhampiran Kampung Bilit.

Oleh Nur Adika Bujang

PEMBUNUHAN kejam seekor gajah pygmy Borneo di Tongod, Kinabatangan bulan lepas mengejutkan seluruh Sabah.

Keadaan bangkai gajah itu melukakan hati ramai orang apabila ‘gergasi lembut Borneo’ itu disiat kulitnya dengan anggota badannya dipotong dan dihamparkan, terlalu mengerikan untuk mereka yang berhati lemah.

Apa yang lebih aneh ialah belalainya hilang, namun gading, yang dikenali sebagai komoditi bernilai sejak zaman purba lagi, masih ada.

Tidak dinafikan, ia merupakan kes terburuk dalam sejarah kematian haiwan yang direkodkan di Sabah.

Pengarah Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga berkata sementara tiada tangkapan dibuat, jabatannya terus komited untuk menyiasat kematian seram gajah itu sehingga berjaya menangkap pelaku dan membawa mereka ke mahkamah.

PAGI YANG MENGEJUTKAN

Langit cerah menyambut pekerja sebuah ladang kelapa sawit dekat Kampung Imbak, Tongod pada pagi 20 Januari 2021, selepas berhari-hari hujan lebat.

Jam menunjukkan sekitar pukul 8 pagi apabila beberapa orang pekerja memulakan tugas mereka di estet itu. Ketika itulah mereka terhidu bau busuk yang amat kuat.

Menurut Tuuga, gajah itu dianggarkan telah mati selama empat atau lima hari sebelum bangkainya ditemukan. Unit Penyelamat Hidupan Liar daripada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah dihubungi dengan segera.

Beliau turut meminta orang ramai untuk menyalurkan maklumat yang boleh membawa kepada penangkapan pihak yang bertanggungjawab di atas kematian gajah pygmy Borneo itu.

JANGAN HUKUM GAJAH

"Saya ada dengar gajah memakan tanaman dan kelapa sawit orang kampung tetapi membunuh bukan caranya untuk menghukum haiwan ini.

"Cara terbaik untuk menghalau gajah ialah dengan menghubungi Unit Penyelamat Hidupan Liar daripada JHL. Itu yang penduduk di kampung saya lakukan," kata Hidzwah Ahmet, 32 dari Kampung Abai, Kinabatangan.

Beliau mengingati pernah melihat sekawan gajah pygmy Borneo beberapa kali di kampungnya dan sering menceroboh tanah perkuburan kampung dan merosakkan kuburan.

“Saya tidak ingat jika ada gajah menyebabkan bahaya terhadap manusia, kecuali diprovokasi dan ini sering berlaku. Walaupun saiznya menakutkan, gajah sangat unik. Seronok melihat mereka berenang menyeberangi Sungai Kinabatangan. Khazanah tulen Sabah. Usia panjang mereka menjadikan ekosistem hutan Sabah sihat, ” katanya.

Pertama kali gajah muncul di tanah keluarga Poliana Sidom, 30-an dari Kampung Gambaron, Telupid, ialah pada tengah malam hinggakan kehadiran mereka secara tiba-tiba, walaupun dalam keadaan senyap, masih menakutkan keluarganya sehingga mereka melarikan diri dan terus ke balai polis untuk meminta pertolongan.

 "Penduduk kampung sangat marah kerana kelapa sawit mereka telah dirosakkan dan dimakan.

 "Tetapi kerana beberapa dialog diadakan di kampung saya oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Forever Sabah dan Seratu Aatai serta agensi kerajaan, penduduk kampung belajar untuk memasang pagar dan membuat bunyi menakutkan seperti membunyikan hon kereta untuk menghalau gajah tanpa membahayakan mereka," katanya.

INSENTIF TAHAN PEMBUNUH

“Saya rasa setiap kali (ada penemuan gajah yang dibunuh kejam), JHL atau mana-mana agensi kerajaan akan menawarkan ganjaran,” kata pengerusi penaja Badan Amanah Konservasi Gajah Bertanggungjawab (Respect), Alexander Yee.

Bercakap kepada Bernama ketika dihubungi di sini, beliau mengakui, rasa takut menyelubungi masyarakat tempatan untuk membuat laporan berkenaan maklumat sebarang kesalahan atau individu berhubung kematian sesuatu haiwan terancam seperti gajah pygmy Borneo.

"Duit (wang ganjaran) boleh menghapuskan perasaan takut itu dan menggalakkan masyarakat untuk membuat laporan.

"Tetapi itu terpulang kepada JHL (untuk memutuskan sesuatu tawaran ganjaran). Saya ingat ada NGO pernah menawarkan ganjaran," katanya.

Yee juga mencadangkan JHL mewujudkan satu laman sesawang berkaitan insiden kematian gajah bagi membolehkan orang ramai mengikuti perkembangan kes membabitkan spesies terancam itu di Sabah.

Menurut beliau, laman web berkenaan perlu mempunyai maklumat kes kematian, lokasi penemuan bangkai dan jika terdapat ganjaran kepada pemberi maklumat untuk mengesan pelakunya.

Poliana mengakui penduduk kampung takut untuk memberi maklumat kepada pihak berkuasa mengenai pembunuh gajah.

Beliau berkata, bukan setakat risau nyawa mereka dalam bahaya jika pembunuh terbabit mengetahui tindakan mereka, tetapi mereka juga merasakan berkongsi maklumat penting dengan pihak berkuasa tidak memanfaatkan masa serta susah payah mereka.

"Jika ada tawaran ganjaran, saya rasa itu akan lebih berkesan dalam menarik masyarakat membuat laporan.

"Kadang kala orang takut mahu membuat laporan, biarpun mereka ada maklumat mengenai pembunuh, tetapi mereka tidak peduli kerana tiada apa-apa manfaat kepada mereka," katanya.

Hidzwah pula berpandangan, pemberian wang ganjaran akan menggalakkan penduduk setempat untuk berusaha mencari maklumat mengenai kejadian pembunuhan gajah.

Menurut beliau, wang ganjaran akan memudahkan siasatan dijalankan dengan lancar sehingga membawa kepada penangkapan pembunuh mamalia itu.

"Pelaksanaan undang-undang pemeliharaan hidupan liar perlu tegas supaya tidak ada pihak yang akan memandang enteng usaha kerajaan dalam melindungi hidupan liar seperti gajah," katanya.

KERAJAAN SABAH TUNAI JANJI

Kali terakhir kerajaan negeri melalui JHL menawarkan wang ganjaran untuk maklumat pembunuh seekor gajah ialah pada Oktober 2019 susulan penemuan satu bangkai dengan sekurang-kurangnya 70 kesan tembakan, dalam keadaan terduduk berhampiran tebing Sungai Udin, Kalabakan pada 25 September, 2019.

Difahamkan, janji wang ganjaran itu sebanyak RM10,000, yang kemudiannya ditingkatkan kepada RM30,000 berikutan ikrar/janji beberapa penderma yang enggan dikenali dan Orangutan Appeal UK, telah ditunaikan kepada seeorang pemberi maklumat selepas tertangkapnya enam lelaki yang dikaitkan dengan kes itu.

Bagaimanapun, selepas polis ke mahkamah sebanyak dua kali untuk mendapatkan perintah reman terhadap suspek berkenaan, mereka dibebaskan tanpa didakwa.

Dalam kes lain yang berlaku tidak sampai sebulan selepas kes di Kalabakan, Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) menawarkan ganjaran dengan “tanda harga” RM50,000 untuk maklumat berkaitan kematian seekor gajah tanpa gadingnya yang ditemukan di sebuah estet kelapa sawit di Beluran pada 20 Okt, 2019.

Pelakunya tidak pernah ditangkap.

GANJARAN UNTUK PEMBERI MAKLUMAT KES TONGOD ?

Sementara itu, mengenai penemuan bulan lepas di Tongod, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (Kepkas) Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata setakat ini tiada ganjaran ditawarkan memandangkan kes itu masih dalam siasatan.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan tawaran ganjaran, dan beliau akan membincangkannya dengan JHL.

“Saya akan berbincang dengan JHL kerana mereka juga ada prosedur operasi standard tertentu untuk kes begini.

“Apa yang pasti, kami di kementerian yang dipertanggungjawabkan memandang serius dan minta masyarakat supaya beri kerjasama, berikan maklumat dan pastikan hidupan liar ini dapat kita jaga, ” katanya. - Bernama 

Advertisement