Anda di sini

Salah guna kuasa, bekas CEO didenda

Advertisement
 

KUCHING: Bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak didenda RM48,000 atau penjara lima bulan sekiranya gagal membayar oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini pada Selasa (16 Feb), atas kesalahan salah guna kuasa. 

Tertuduh, Datuk Baharudin Abdullah, yang kini bersara, mengaku bersalah apabila didakwa atas dua pertuduhan alternatif, kedua-duanya dibuat mengikut Seksyen 25 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Menurut sumber SPRM, tertuduh pada sekitar 2014 menggunakan kedudukan dan jawatannya dengan melantik sebuah syarikat bagi kerja-kerja Pembekalan Powerbank dan Pendrive dengan kos keseluruhan projek RM90,000 tanpa melalui sebarang Mesyuarat Jawatankuasa Penilai Sebutharga. 

Difahamkan, tertuduh mempunyai kepentingan dalam syarikat tersebut. 

Sehubungan itu, Hakim Nixon Kennedy Kumbong menjatuhkan denda RM18,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar bagi pertuduhan pertama. 

Pertuduhan seterusnya menyaksikan tertuduh didenda RM30,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar. 

Tertuduh yang diwakili peguam Fabian Sigar dan Osman Ibrahim itu dilaporkan membayar denda. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latiff. 

  • oleh
  • Advertisement