Anda di sini

Luqman Hafiz & Sasqia Dahuri dalam ‘Cinta Untuk Raf’

Advertisement
 Penggambaran drama ‘Cinta Untuk Raf’ yang mengisi slot Bidadari di TV1, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 3.05 petang.
DI SEBALIK TABIR: Penggambaran drama ‘Cinta Untuk Raf’ yang mengisi slot Bidadari di TV1, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 3.05 petang.

KISAH cinta untuk Raf dalam novel karya Rabihah Nur Ridhuan kini boleh diikuti dalam bentuk adaptasi drama bersiri yang sedang ditayangkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Mengisi slot Bidadari di TV1 mulai 15 Februari, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 3.05 petang, drama ‘Cinta Untuk Raf’ arahan Zek Zukry, terbitan Open Echo Communications ini menampilkan gandingan pelakon utama Luqman Hafidz dan Sasqia Dahuri yang menghidupkan watak Raf dan Dr. Orked.

Sepanjang 26 episod siarannya, drama ini turut menampilkan lakonan mantap Tash Yong, Badrul Muhayat, Dilla Ahmad, Mustaqim Bahadon, Tina Rasid, Zarynn Min, Idris Md Diah, Ema Akma, Melissa Campbell, Kristina Vinokree, Dayana Jasmin dan Shakira Stephen.

Kisahnya berlegar tentang manisnya cinta apabila ia diakhiri dengan sebuah perkahwinan.

Impian yang dipendam selama dua tahun oleh Orked dan Raf akhirnya tercapai jua.

Raf anak tunggal yang suka dipujuk bukannya memujuk membuatkan Orked jadi keliru sendiri.

Walau bagaimanapun, cinta Orked tetap kukuh buat Raf.

 Barisan pelakon Cinta Untuk Raf
MANTAP: Barisan pelakon Cinta Untuk Raf

Namun sayang, manisnya cinta mereka menemui penamatnya apabila kemunculan skandal di antara bapa Raf iaitu Encik Rahman dan Tasya.

Skandal itu menjadi titik permulaan kepada keruntuhan rumah tangganya kerana Tasya rupa-rupanya adalah Humaira, adik Orked yang dicarinya selama ini.

Raf dipaksa oleh ibunya, Puan Aqilah supaya menceraikan Orked apabila ibunya mengetahui pertalian di antara Tasya dengan Orked.

Raf tidak mampu memilih. Orked pula tersepit.

Tambahan pula Tasya menghidap penyakit Dissociative Identity Disorder (DID) iaitu kecelaruan identiti.

Kerana hati yang luka, Raf terpaksa melepaskan cintanya pergi.

Adakah Raf dan Orked mampu untuk menerima takdir yang ditentukan buat mereka?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, anda berpeluang menontonnya menerusi portal online, RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my) dan rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

Advertisement