
SIBU: Seorang lelaki warga emas ditemui mati di sebuah pusat jagaan milik persendirian di Jalan Geronggang, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Johnathan Ringgit berkata, lelaki yang berumur 73 tahun itu disahkan positif COVID-19.
"Ujian saringan COVID-19 pada Sabtu lalu (13 Februari) dan dia disahkan positif pada keesokan harinya (14 Februari)," katanya ketika dihubungi.
Stanley berkata, sepasukan polis bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada kira-kira jam 9.40 pagi.

Turut berkejar ke ke lokasi kejadian ialah petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Sementara itu, difahamkan penghuni lain di pusat jagaan berkenaan terpaksa dipindahkan ke suatu tempat untuk dikuarantin.
"Saya bagaimanapun tiada data untuk bilangan penghuni serta lokasi bagi menempatkan kesemua mereka," ujar beliau lagi.
Katanya, mayat lelaki tersebut dibawa ke Hospital Sibu dengan diiringi pihak KKM sebaik dikeluarkan dari pusat jagaan berkenaan.