Anda di sini

Lelaki didenda RM18,000 kerana merasuah polis

Advertisement
Tertuduh (tengah) diiring pegawai SPRM semasa berada di Kompleks Mahkamah Kuching. 
Tertuduh (tengah) diiring pegawai SPRM semasa berada di Kompleks Mahkamah Kuching. 

KUCHING: Seorang lelaki bekerja sendiri didenda RM18,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar di Mahkamah Khas Rasuah di sini, hari ini atas kesalahan memberi suapan sebanyak RM18,000 kepada seorang anggota polis berpangkat Inspektor, Oktober tahun lalu. 

Hakim Nixon Kennedy Kumbong menjatuhkan hukuman tersebut setelah Lee Wee Fook, 37, mengaku bersalah sebaik pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya. 

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberikan suapan sebanyak RM18,000 kepada Inspektor Syahrulhafizy Ghazali sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerja-pekerja tertuduh yang kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. 

Perbuatan itu didakwa dilakukannya pada 19 Oktober 2020, jam 6.30 petang di sebuah premis di Jalan Matang, Batu Kawa, Padawan. 

Berdasarkan keterangan kes, semasa pihak polis menjalankan serbuan di premis tersebut, mereka menemui 10 orang pekerja dan empat buah komputer dipercayai digunakan untuk aktiviti judi dalam talian. 

Tertuduh kemudian bertindak mendorong pegawai polis tersebut untuk tidak mengambil tindakan terhadap pekerjanya dengan menawarkan wang berjumlah RM18,000. 

Tertuduh seterusnya ditahan dan pegawai berkenaan bertindak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa SPRM Ikhwan Mohd Ibrahim.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dilaporkan membayar denda. 

  • oleh
  • Advertisement