Anda di sini

Ramesh Rao mengaku tidak bersalah buat hantaran Twitter bersifat jelik

Advertisement
 Ramesh Rao (kiri) bersama peguamnya, Shamsher Singh di Mahkamah Sesyen semalam atas pertuduhan membuat hantaran Twitter bersifat jelik pada tahun lepas. — Gambar Bernama
DIIKAT JAMIN: Ramesh Rao (kiri) bersama peguamnya, Shamsher Singh di Mahkamah Sesyen semalam atas pertuduhan membuat hantaran Twitter bersifat jelik pada tahun lepas. — Gambar Bernama

TAIPIN: Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) Malaysia Ramesh Rao didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan membuat hantaran Twitter bersifat jelik pada Julai tahun lepas.

Ramesh, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhelmy Hasan.

Dia didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain itu melalui perkhidmatan aplikasi Twitter, menggunakan laman profil Twitter ‘RameshRaoAKS****’di pautan http://twitter.com/RameshRaoAKS/status/1287974441347997697.

Ramesh didakwa melakukan perbuatan itu pada 28 Julai kira-kira jam 12.58 tengah hari yang telah dibaca di No. 10 Lorong 2 Taman Desa Trong Utama 34800 di sini, kira-kira 8 malam hari yang sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Timbalan Pendakwa Raya Sariza Ismail menawarkan jaminan RM10,000 namun peguam Shamsher Singh Thind yang mewakili Ramesh memohon jaminan RM5,000 atas alasan hanya melibatkan kes saman dan tiada risiko untuk anak guamnya yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor melarikan diri.

Shamser Singh berkata, anak guamnya malah menghormati institusi kehakiman dengan menghadirkan diri di mahkamah walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Mac depan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen. — Bernama

Advertisement