Anda di sini

Industri minyak sawit jana RM72.8 bilion tahun lepas, tertinggi sejak 2017

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Industri minyak sawit Malaysia berjaya menjana sekitar RM72.8 bilion melalui eksport minyak berkenaan serta produk-produk berasaskannya ke pasaran antarabangsa pada 2020.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata angka itu juga jauh lebih tinggi (kira-kira 14.18 peratus) berbanding RM63.73 bilion yang dicatatkan pada 2019 dan tertinggi sejak 2017 (RM77.9 bilion).

Menurutnya, ini membuktikan bahawa peranan industri sawit bukan hanya menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat tetapi turut berperanan sebagai salah satu penyumbang pendapatan utama negara.

“Status industri sawit sebagai salah satu daripada empat penyumbang terbesar ekonomi di Malaysia selama 15-18 tahun kebelakangan ini membuktikan bahawa industri ini sangat penting kepada negara kecil yang membangun seperti Malaysia,” katanya ketika berucap merasmikan kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ secara maya di sini, pada Rabu.

Malah, Mohd Khairuddin berkata antara bukti lain peranan sawit adalah kepentingannya dalam menangani situasi penularan pandemik COVID-19 yang dihadapi sekarang.

Ini termasuk penggunaan sabun dan pencuci berasaskan minyak sawit yang merupakan antara medium terpenting bagi tujuan pembasmi virus COVID-19.

“Bahan asas alkohol dalam pembersih tangan yang digunakan secara meluas juga boleh dihasilkan dengan minyak sawit.

“Secara tidak langsung, penggunaan produk berasaskan sawit juga telah membuka peluang perniagaan kepada pengusaha-pengusaha farmaseutikal pada waktu dan ketika yang mencabar ini,” katanya.

Menurut Mohd Khairuddin, ini pastinya memberi manfaat apalagi pada masa ini kira-kira 450,000 pekebun kecil dan keluarga mereka bergantung kepada tanaman sawit.

Sementara itu, bersempena pelancaran kempen ‘Sawit Anugerah Tuhan’ tersebut, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) turut memperkenalkan laman sesawang www.sawit.com.my yang membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai minyak sawit Malaysia.

Antara lain, kempen itu bertujuan memberi kesedaran dan menyemai perasaan bangga serta menghargai sumbangan besar minyak sawit kepada negara selama ini.

Kempen yang diterajui oleh Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) itu akan turut menumpukan peranan minyak sawit dalam pembangunan sosioekonomi, pemakanan, kesihatan dan farmaseutikal, pemuliharaan alam sekitar serta industri makanan dan bukan makanan. - Bernama 

Advertisement