Anda di sini

Ibu kandung, bapa tiri didakwa bunuh kanak-kanak lelaki enam tahun

Advertisement
Polis melakukan kawalan ketat terhadap ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak lelaki yang ditemukan lemas di dalam tong air, ketika hadir bagi pertuduhan kes dera di Mahkamah Ayer Keroh hari ini. - Gambar Bernama
Polis melakukan kawalan ketat terhadap ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak lelaki yang ditemukan lemas di dalam tong air, ketika hadir bagi pertuduhan kes dera di Mahkamah Ayer Keroh hari ini. - Gambar Bernama

MELAKA: Ibu kandung dan bapa tiri didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh kanak-kanak lelaki enam tahun, yang ditemukan lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya di sini, bulan lepas.

Zuraida Atan, 31, dan suaminya, Mohd Fadzli Abdull Razak, 38, masing-masing mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada pasangan suami isteri itu kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa bersama-sama membunuh Zubaidi Amir Qusyairi Abdul Malek di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya di sini pada 3.32 petang, 29 Januari lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen di sini, pasangan suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendedahkan kanak-kanak yang sama dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau membenarkannya dianiaya dan diabaikan.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama antara 13 Okt tahun lepas dan 29 Jan lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kesalahan Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Nariman Badruddin tidak membenarkan kedua-dua tertuduh itu diikat jamin bagi pertuduhan tersebut dan menetapkan 29 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Melaka Badius Zaman Ahmad, manakala Zuraida diwakili empat peguam yang diketuai Zamri Idrus dan Mohd Fadzli diwakili dua peguam yang diketuai Datuk Ahmad Musthafi Mohamad.

Pihak media tidak dibenarkan memasuki mahkamah untuk mengikuti kedua-dua prosiding itu kerana mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), kecuali keluarga terdekat kedua-dua tertuduh. - Bernama 

Advertisement