Anda di sini

Dua lelaki mengaku tidak bersalah seludup migran, dibebaskan dengan jaminan RM5,000 

Advertisement
Kedua-dua tertuduh bersama peguam mereka (dua kanan) semasa berada di lobi Mahkamah Kuching. 
Kedua-dua tertuduh bersama peguam mereka (dua kanan) semasa berada di lobi Mahkamah Kuching. 

KUCHING: Dua lelaki masing-masing dibenarkan bebas dengan jaminan tunai RM5,000 berserta dua penjamin tempatan setelah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini atas tuduhan menyeludup enam warga Indonesia pada Disember tahun lalu. 

Hakim Dr Alwi Abdul Wahab turut mengarahkan Johny Belikau Bari, 36 dan Lincoln Lim Sio Fei, 31, untuk melaporkan diri ke balai polis berdekatan sekali setiap dua minggu.  

"Pengurusan kes ditetapkan pada 25 Mac depan. Kedua-dua tertuduh diarah untuk menyerahkan dokumen perjalanan termasuk pasport kepada mahkamah," ujar beliau semasa prosiding. 

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki bekerja sendiri itu dengan niat bersama didakwa menyeludup enam migran warga Indonesia pada 17 Disember 2020, jam 11.15 malam di sebuah ladang kelapa sawit di Ensawang, Lubok Antu. 

Difahamkan, mereka melakukan perbuatan tersebut menggunakan sebuah kenderaan jenis utiliti sukan (SUV). 

Untuk itu, kedua-dua lelaki tersebut masing-masing didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. 

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan boleh didenda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya sekali. 

Terdahulu, pihak pendakwaan terdiri daripada Timbalan Pendakwa Raya Nadratun Naim Mohd Saidi pula memohon kepada mahkamah agar kedua-dua tertuduh tidak diberikan ikat jamin. 

Jelas beliau, kesalahan yang dilakukan tertuduh termasuk dalam kesalahan sekuriti yang disenaraikan di dalam Jadual Pertama di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA). 

Namun, peguam mewakili kedua-dua tertuduh iaitu Frederick Sabungkok memohon kepada mahkamah agar anak guamnya diberikan ikat jamin atas alasan tuduhan dikenakan terhadap mereka merupakan kesalahan paling kurang serius di bawah Seksyen 26 ATIPSOM. 

Beliau turut memetik kes terdahulu membabitkan Koh Chin Wah yang didakwa mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007 dan kemudiannya dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM20,000 tunai berserta seorang penjamin tempatan oleh Mahkamah Persekutuan pada Disember 2020 setelah direman selama hampir empat tahun. 

Berdasarkan kes tersebut Frederick berkata, mahkamah mempunyai kuasa dan budi bicara untuk memberikan jaminan di bawah Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah mengikut keperluan di bawah Seksyen SOSMA.

  • oleh
  • Advertisement