Anda di sini

Drama adaptasi ‘Angkara Cinta’ disambung 45 episod lagi

Advertisement
 Tayangan drama bersiri ‘Angkara Cinta’ kini disambung lagi sebanyak 45 episod baharu.
DAPAT SAMBUTAN: Tayangan drama bersiri ‘Angkara Cinta’ kini disambung lagi sebanyak 45 episod baharu.

BERIKUTAN sambutan hangat dan maklum balas positif yang diterima daripada para penonton, tayangan drama bersiri ‘Angkara Cinta’ kini disambung lagi sebanyak 45 episod baharu.

Mengikut perancangan awal, naskah adaptasi melodrama arahan sutradara Hadith Omar ini sepatutnya berakhir di episod 70 pada 5 Februari yang lalu namun, dengan pertambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak 115 episod.

Pengurus Saluran Astro Prima, Norzeha Mohd Salleh dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Astro berkata, “Kami amat gembira dan berbesar hati dengan sambutan hangat yang diterima untuk drama ‘Angkara Cinta’ sehingga meletakkan ia sebagai drama No. 1 yang meraih jumlah tontonan tertinggi di Astro Prima sepanjang tahun 2020. Drama ini juga turut mencuri perhatian ramai di laman media sosial menerusi pelbagai perkongsian positif menggunakan tanda pagar #AngkaraCinta dengan lebih 8 juta jumlah tontonan digital ke atas rangkaian video promosi yang dikeluarkan.”

Tambahnya, “Sejak mula ditayangkan, drama ‘Angkara Cinta’ ternyata berjaya menyelami emosi penonton menerusi plot penceritaan yang mendebarkan. Bukan itu sahaja, kesemua barisan pelakon yang terlibat dalam drama ini sama ada watak besar atau kecil juga telah memainkan peranan yang cukup bermakna dengan lakonan mantap yang mampu mengagumi khalayak penonton melalui pembawaan watak yang cukup berkesan.

“Menerusi pertambahan 45 buah episod baharu ini, pihak produksi diberi cabaran mengolah naskah asal untuk dikembangkan secara kreatif dengan mengambil kira maklum balas yang diterima daripada penonton setia yang telah menyokong drama ini sejak mula ditayangkan.

“Semoga para penonton akan berpuas hati dengan garapan segar yang akan mula dipertontonkan petang ini. Sama-sama kita saksikan apakah kesudahan drama ini nanti. Selamat terhibur.”

Drama bersiri ‘Angkara Cinta’ terbitan syarikat produksi Juita Viden ini telah diadaptasi ke format kisah drama Melayu daripada drama asal ‘The Two of Us’ atau lebih dikenali dengan judul ‘Tayong Dalawa’ yang mana ia merupakan telenovela popular yang mendapat sambutan hangat di Filipina sekitar tahun 2009.

Drama ini turut mendapat sentuhan sutradara berkaliber, Michael Ang selaku penerbit serta barisan penulis skrip yang diketuai oleh Amor Rizan dan Rehal Nuharis.

Antara barisan pelakon yang menjayakan drama ini termasuklah Hun Haqeeem, Meerqeen, Wanna Ali, Yuna Rahim, Syazwan Zulkifly, Datin Nina Juren, Sharifah Shahora, Normah Damanhuri, Roy Azman serta ramai lagi.

‘Angkara Cinta’ disiar-kan menerusi slot Tiara secara eksklusif di saluran Astro Prima HD (105) dan Astro Prima (125) pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan lebih fleksibel.

Advertisement