Anda di sini

Warden Penjara Bintulu positif COVID-19, 700 orang diarah jalani ujian saringan

Advertisement
 

BINTULU: Seramai 700 orang termasuk warden penjara, keluarga mereka dan banduan diarah menjalankan ujian saringan COVID-19  berikutan seorang warden Penjara Bintulu disahkan positif COVID-19 hari ini.

Berikutan itu kata Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing (gambar), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu telah mengambil tindakan segera dengan mengenakan arahan kuarantin terhadap semua warden dan semua banduan yang terdapat di penjara terbabit.

Penjara terbabit menurut Tiong, telah dikenakan arahan sekatan pergerakan bagi membolehkan pengesanan kes aktif (ACD) dijalankan yang mana ujian saringan akan dijalankan serta-merta dan dikenakan kawalan pergerakan selama 14 hari.

"Kita difahamkan bahawa terdapat sebahagian warden penjara dan banduan dikuarantin dalam kawasan penjara, manakala warden yang lain berserta keluarga mereka dikuarantin di Stadium Muhibah," ujarnya.

Tiong yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China itu berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu, termasuk Pejabat Kesihatan Bintulu memandang serius kes-kes yang disahkan.

Oleh demikian katanya, penguatkuasaan kawalan yang ketat harus dilaksanakan bagi mengekang penularan pandemik berbahaya ini bagi memastikan kadar jangkitan dapat dikurangkan.

Tiong dalam kenyataannya turut berkata tindakan sekatan pergerakan ini bukan bermaksud untuk mengongkong serta menyusahkan kehidupan penduduk setempat, namun ianya dilihat sebagai langkah drastik bagi memutuskan rangkaian COVID-19.

"Jadi langkah berjaga-jaga pada masa ini adalah kunci untuk mengekang penyebaran wabak pembunuh ini," tegasnya. 

  • oleh
  • Advertisement