Anda di sini

Rogol di lokap: 2 anggota polis mengaku tidak bersalah dedah gadis bawah umur kepada perbuatan aniaya

Advertisement
Brase (dua kanan) dan Edmund (kiri) mendengar penerangan daripada peguam bela di pekarangan mahkamah, hari ini.

MIRI: Dua anggota polis berpangkat koperal masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini, atas tuduhan membiarkan seorang gadis bawah umur terdedah kepada perbuatan aniaya oleh seorang tahanan lelaki ketika direman di lokap Balai Polis Pusat Miri.

Kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap kedua-dua tertuduh di hadapan Majistret Md. Syafique Md. Hilmie.

Brase Omang, 54, dari Desa Indah 2, Bandar Baru Permyjaya di sini dan Edmund Jali, 44, dari kuarters kediaman Ibu Pejabat Polis Daerah Miri telah didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, kedua-dua tertuduh telah dituduh membiarkan seorang gadis bawah umur berusia 16 tahun terdedah kepada perbuatan aniaya dengan membiarkan sel seorang tahanan tidak berkunci dan memiliki akses kepada kunci sel gadis tersebut.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 10.51 malam pada 8 Januari dan jam 6.50 pagi, 9 Januari lalu di Balai Polis Pusat Miri di sini.

Setelah mendengar pengakuan tidak bersalah kedua-dua tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 22 Februari ini untuk pengurusan kes.

Manakala kedua-dua tertuduh diperintahkan dibebas dengan jaminan masing-masing RM10,000 berserta dua penjamin tempatan.

Pendakwaan dilakukan oleh empat Timbalan Pendakwa Raya terdiri daripada Musli Abdul Hamid, Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan, Danial Ilham dan Rishan Kumar Ragandaran.

Manakala Brase diwakili peguam bela Ranbir Singh Sangha dan Edmund diwakili peguam bela Gurvir Singh Sandhu. 

  • oleh
  • Advertisement