Anda di sini

Pemandu sambilan dipenjara, seludup migran dengan bayaran RM100 

Advertisement
 

KUCHING: Padah menyeludup lapan warga Indonesia dengan bayaran RM100 bagi satu perjalanan, seorang lelaki bekerja sebagai pemandu sambilan dipenjara 22 bulan di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Roim Langge, 28, selepas tertuduh mengekalkan pengakuan bersalah terhadap pertuduhan tersebut pada tarikh jatuh hukum, hari ini.

Terdahulu pada 2 Februari, tertuduh mengaku bersalah apabila didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan mahkamah menetapkan 9 Februari untuk menjatuhkan hukum. 

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh dikuatkuasakan dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 2 Disember, 2020. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu kenderaan pacuan empat roda terlibat dalam penyeludupan lapan warga Indonesia pada 2 Disember 2020, jam 8 pagi di hadapan sebuah bank terletak di Jalan Black Smith, Lundu.

Mengikut keterangan kes, tertuduh bekerja sebagai pemandu sambilan bagi seorang lelaki warga tempatan iaitu Bester Endil, 33.

Tertuduh pada hari kejadian diarahkan oleh Bester untuk mengambil migran di Kuching City Mall dan seterusnya menghantar migran tersebut ke kawasan berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak agar mereka dapat pulang ke Indonesia. 

Hasil siasatan mendapati tertuduh ditawarkan wang RM100 untuk melakukan perjalanan tersebut.

Malah, kesemua migran tersebut didapati mempunyai pasport yang sah namun tinggal di Malaysia menggunakan pas lawatan sosial yang telah tamat tempoh.

Kesemua warga Indonesia itu juga didapati berurusan dengan ejen mereka bagi menguruskan perjalanan pulang ke Indonesia.

Ejen tersebut pula berurusan dengan Bester untuk mengendalikan pengangkutan bagi perjalanan tersebut. 

Dalam pada itu, Bester turut ditangkap pada hari yang sama kerana menyeludup migran di Jalan Bau-Lundu-Sematan dan mengaku bersalah apabila didakwa mengikut Seksyen 26J ATIPSOM 2007 pada 19 Januari lalu.

Hakim Dr Alwi Abdul Wahab menetapkan Bester dipenjara dua tahun dan mengarahkan hukuman dijalankan mulai tarikh tangkap iaitu pada 2 Disember 2020.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadratun Naim Mohd Saidi. 
 

  • oleh
  • Advertisement