Anda di sini

Glasier pecah cetus bencana maut di India

Advertisement
 Gambar serahan Polis Sempadan Tibet Indo yang dirakam kelmarin menunjukkan anggota mereka menjalankan operasi menyelamat untuk membersihkan terowong Tapovan daripada puing susulan banjir kilat akibat glasier pecah di daerah Chamoli. — Gambar AFP
MISI BERBAHAYA: Gambar serahan Polis Sempadan Tibet Indo yang dirakam kelmarin menunjukkan anggota mereka menjalankan operasi menyelamat untuk membersihkan terowong Tapovan daripada puing susulan banjir kilat akibat glasier pecah di daerah Chamoli. — Gambar AFP

RISHIKESH: Seramai 14 orang disahkan meninggal dunia semalam dan sekurang-kurangnya 170 lagi masih hilang selepas satu bongkah glasier pecah lalu menyebabkan banjir kilat teruk di India, kata pihak berkuasa.

Tembok air yang melimpahi sebuah lembah di utara Himalaya, India pada pagi kelmarin, memusnahkan jambatan, jalan raya dan dua loji kuasa hidroelektrik.

“Terdapat satu kepulan debu ketika air mengalir.

“Tanah bergegar seperti satu gempa bumi,” penduduk tempatan Om Agarwal memberitahu Indian TV.

Kerajaan negeri Uttarakhand menyatakan semalam 14 mayat telah ditemui dari tempat berlainan namun menurut pegawai tempatan 170 lagi telah hilang.

Seramai 15 orang telah diselamatkan.

Pihak polis kelmarin menyatakan jumlah orang yang hilang lebih 200, kebanyakan daripada mereka dari dua kawasan loji tenaga terbabit.

Puluhan mangsa lagi terperangkap di dalam dua terowong yang terputus akibat banjir dan ditimbus lumpur dan batu.

Seramai 12 orang telah diselamatkan dari salah satu terowong kelmarin namun antara 25 hingga 30 lagi yang masih terperangkap dalam terowong kedua, pegawai bantuan bencana negara Piyoosh Rautela memberitahu AFP.

Dengan jalan raya utama yang ditenggelami air, anggota penyelamat separa tentera terpaksa menuruni tepian bukit dengan menggunakan tali untuk sampai ke pintu masuk.

Ratusan pekerja penyelamat meneruskan operasi pencarian mereka semalam termasuk pasukan respons nasional, pasukan tentera dan penyelam tentera laut.

Pihak berkuasa menyatakan dua empangan telah dikosongkan bagi menghalang banjir melimpah ke pekan Rishikesh dan Haridwar di mana pihak berkuasa tidak membenarkan penduduk menghampiri sungai bagi mengelak mereka daripada menjadi mangsa banjir kilat.

Kampung-kampung di tepi bukit yang berhampiran sungai telah dikosongkan, namun pada waktu malam pihak berkuasa menyatakan bahaya banjir sudah menurun.

Beberapa pengguna media sosial merakamkan kejadian, dengan gambar menunjukkan air mengalir deras sekali melalui lembah di bawah salah satu loji tenaga.

Perdanaa Menteri Narendra Modi menyatakan beliau sedang mengawasi operasi bantuan.

Banjir pada 2013 di Uttarakhand, yang bersempadan dengan Tibet dan Nepal, mengorbankan 6,000 orang, dan membawa kepada seruan agar projek pembangunan di negeri tersebut diteliti semula. — AFP

Advertisement