Anda di sini

Lelaki didenda RM2,000 gara-gara memiliki pistol tiruan

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki bekerja sendiri didenda RM2,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar di Mahkamah Majistret di sini, hari ini gara-gara memiliki sepucuk pistol tiruan.

Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman tersebut setelah Ibrahim Affandi, 36, mengaku bersalah sejurus pertuduhan di bawah Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dibacakan terhadapnya.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Mengikut pertuduhan, lelaki yang beralamatkan di Kenyalang Park itu didakwa memiliki senjata api tiruan pada 2 Februari lalu, jam 1.30 tengah hari semasa berada di sebuah stesen minyak di Section KTLD Jalan Tun Razak, dekat sini. 

Berdasarkan keterangan kes, semasa pengurus stesen minyak tersebut (pengadu) bertugas, seorang pelanggan lelaki (tertuduh) masuk ke premis tersebut dengan tidak memakai pelitup muka. 

Pengadu menegur tertuduh serta mengarahkannya untuk memakai pelitup muka namun tertuduh tidak menghiraukan pengadu dan terus ke kaunter untuk membeli pemetik api.

Setelah membuat bayaran, tertuduh terus beredar tanpa mengambil duit bakinya.

Semasa menolak pintu premis untuk keluar, tertuduh bertindak menyelak baju sehingga sengaja menampakkan objek menyerupai pistol berwarna hitam yang diselitkannya di bahagian pinggang sebelah kanan dan berlalu keluar.

Pengadu seterusnya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, tertuduh bertindak demikian berikutan tidak puas hati apabila ditegur.

Tertuduh juga dikatakan memperoleh pistol tiruan tersebut dari tempat pembuangan sampah di kawasan Batu 7, Padawan. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement