Anda di sini

Jasebel Robert Miss Grand Malaysia 2020

Advertisement
JASEBEL ROBERT
JASEBEL ROBERT

MIRI: Jasebel Robert diumumkan sebagai Miss Grand Malaysia 2020 setelah melalui proses temu ramah virtual yang komprehensif dan diundi orang ramai dalam penentuan juara pertandingan tersebut.

Pengumuman itu dibuat oleh Miss Grand Malaysia Organisation (MGMO) di laman sosial Facebook organisasi tersebut baru-baru ini.

Jasebel, 25, berketurunan Cina dan India dari Kuala Lumpur berjaya menewaskan 17 peserta akhir lain dari seluruh Malaysia.

“Ini benar-benar datang sebagai hadiah terbaik menyambut tahun baru.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada organisasi (MGMO) kerana mempercayai saya dengan tanggungjawab ini dan tidak lupa juga mereka yang telah membantu saya sepanjang perjalanan sehingga hari ini,” kata Jasebel.

“Memandangkan dunia masih bertarung dengan pandemik Covid-19, saya akan menggunakan peluang ini untuk menyerlahkan advokasi saya yang relevan dengan masa dan zaman ini,” tambah beliau.

Gadis yang memiliki ketinggian 173cm ini merupakan graduan Komunikasi Massa dan fasih dalam pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Mandarin, Teochew dan Melayu.

Beliau yang percaya bahawa ilmu pengetahuan adalah kunci memberikan inspirasi kepada beliau untuk mempelajari bahasa dan budaya baru termasuk bahasa Thai dan Sepanyol.

Jasebel gemar membaca falsafah dan biografi untuk kekal berfikiran positif dan mudah menyampaikan pengetahuan kepada orang lain.

Beliau turut menerapkan rutin senaman biasa dan mengamalkan gaya hidup sihat kerana beliau percaya bahawa kesejahteraan keseluruhan adalah intipati kewujudan yang menggembirakan.

Advokasi beliau terhadap kesaksamaan dan pendidikan untuk semua tanpa mengira bangsa, jantina dan status, ditambah dengan penamatan peperangan dan keganasan, terutamanya keganasan rumah tangga adalah satu topik yang relevan dalam tempoh ini.

Dan ini akan dilakukan dengan memanfaatkan media sosial dan kolaborasi digital untuk melibatkan khalayak yang lebih luas.

Sementara itu, menurut Pengarah Miss Grand Malaysia Jude Benjamin Lisa, pertandingan ratu cantik peringkat kebangsaan tersebut yang pada mulanya ditangguhkan kerana sekatan dalam menganjurkan majlis seumpamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilakukan secara maya dalam menentukan pemenang sebagai persediaan perwakilan untuk Miss Grand International 2020 yang akan diadakan di Bangkok, Thailand.

Lebih daripada 50 buah negara dijangka mengambil bahagian dalam pertandingan pada bulan Mac itu nanti.

“Walaupun menghadapi banyak cabaran, kami amat berbangga untuk mengalu-alukan ratu baru kami secara rasmi walaupun tidak disambut dengan cara yang paling konvensional.

“Walaupun bagaimanapun, kami yakin Jasebel akan membanggakan negara dalam pertandingan peringkat antarabangsa tersebut nanti,” kata Jude.

Dalam pada itu, 17 peserta akhir lain Miss Grand Malaysia 2020 masih akan bertanding di acara gala yang akan diadakan kemudian.

Turut diumumkan enam finalis terbaik dari pemilihan yang telah melayakkan diri ke peringkat seterusnya iaitu Malveen Kaur, Lishalliny Kanaran, Sarah Cyntia, Pretty Tey, Kimberly Soh dan Kelly Cahil, di mana empat gelaran kebangsaan akan dianugerahkan.

Untuk perkembangan lanjut, ikuti Miss Grand Malaysia di laman sosial Facebook dan Instagram.

Advertisement