Anda di sini

Dari jurutera menjadi penjual roti RM1

Advertisement
 Pelanggan gemar membeli roti yang dijual Rduzuan dari kenderaannya.
MURAH: Pelanggan gemar membeli roti yang dijual Rduzuan dari kenderaannya.

PUTATAN: Keputusan berhenti dari pekerjaan tetap sebagai Penyelia Kanan Jurutera Mekanikal dan Elektrik di sebuah syarikat swasta bukanlah penamat untuk dirinya mencari sumber pendapatan lain.

Malah tindakannya menceburi bidang perniagaan sebagai pekerjaan utama kini menjadikan Ridzuan Jamal, 28, sebagai individu yang lebih berdaya saing terutama dalam menghadapi pelbagai cabaran semasa pandemik COVID-19.

 Jualan roti RM1 Ridzuan mendapat sambutan luar biasa pelanggan di sekitar Putatan.
ROTI RM1: Jualan roti RM1 Ridzuan mendapat sambutan luar biasa pelanggan di sekitar Putatan.

Tampil dengan idea untuk menjual roti berharga RM1 sejak November tahun lepas, ia juga antara tarikan utama pelanggan untuk membeli roti jualannya.

Rakaman suara yang melaungkan bunyi roti! roti! mari beli roti RM1 umpama tidak asing lagi bagi penduduk sekitar daerah Putatan dan kawasan sekitar.

Ridzuan menggunakan pendekatan menjual roti secara bergerak di sekitar kawasan Putatan bagi menarik lebih ramai pelanggan membeli roti aneka jenis seperti roti tausa, golok, bilis, tuna, sosej dan 'chicken floss'.

"Saya sendiri tidak pernah terlintas dalam fikiran akan menjalankan perniagaan menjual roti seperti ini lebih-lebih lagi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Saya bersyukur walaupun masih baharu dalam bidang perniagaan roti ini, ia berjaya mendatangkan hasil dari inisiatif yang baharu diperkenalkan.

"Pada awalnya memang saya agak ragu untuk menjual roti pada harga RM1, namun selepas berfikir secara psikologinya, saya yakin pelanggan pasti akan beli roti yang dijual dalam kuantiti banyak disebabkan harga yang murah," jelasnya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, walaupun tujuan berniaga untuk mencari sumber pendapatan, namun pada masa sama, pihaknya tidak mahu ada golongan yang tidak mampu membeli berikutan harga yang mahal.

 Produk roti yang dihasilkan Ridzuan terdiri dari aneka jenis roti.
ANEKA JENIS: Produk roti yang dihasilkan Ridzuan terdiri dari aneka jenis roti.

Menurutnya, hasil jualan roti berkenaan boleh mencapai sekitar 3,000 roti setiap hari dan kini Ridzuan turut dibantu oleh pasukannya kerana sambutan jualan roti yang luar biasa.

Usahanya itu turut membantu rakan-rakan lain yang turut terjejas sumber pendapatan akibat pandemik COVID-19 dengan menjadi pasukan dalam memasarkan produk roti yang dihasilkannya.

Selain itu katanya, perniagaan menjual roti berkenaan dimulakan oleh bapa saudaranya yang berniaga roti di Papar dan dengan menggunakan cara pemasaran yang sama, Ridzuan kini mampu meneruskan perniagaan roti RM1.

  • oleh
  • Advertisement