Anda di sini

Bekas ketua ECB diberi mandat tubuh kerajaan baharu Itali

Advertisement
 Draghi bercakap pada sidang media di Istana Quirinal di Rom kelmarin selepas menerima mandat daripada presiden Itali untuk menubuhkan kerajaan baharu. — Gambar AFP
KUASA BAHARU: Draghi bercakap pada sidang media di Istana Quirinal di Rom kelmarin selepas menerima mandat daripada presiden Itali untuk menubuhkan kerajaan baharu. — Gambar AFP

ROM: Bekas ketua Bank Pusat Eropah (ECB), Mario Draghi, menggesa beberapa serpihan parti di Itali untuk menyokongnya ketika beliau cuba membentuk kerajaan baharu dan mengeluarkan negara dari kerosakan akibat pandemik COVID-19 kelmarin.

Selepas menerima satu mandat daripada Presiden Itali, Sergio Mattarella untuk memulakan rundingan untuk sebuah kerajaan perpaduan, Draghi menggesa penyelesaian segera masalah politik pada “masa yang sukar”.

Tiada kerajaan berfungsi penuh di Rom sejak beberapa minggu selepas pakatan kerajaan bekas Perdana Menteri Giuseppe Conte tumbang berikutan dengan perbalahan tentang cara menguruskan COVID-19 dan masalah ke-melesetan ekonomi.

Conte meletak jawatan sebagai perdana menteri minggu lepas tetapi terus kekal sebagai penjaga sementara sehingga Draghi – yang terkenal dengan janji untuk “melakukan apa yang diperlukan” semasa krisis hutang zon euro – cuba membina majoriti beliau sendiri dalam parlimen.

“Saya yakin bahawa... perpaduan akan muncul dan dengan itu, kemampuan untuk memberikan satu tanggungjawab dan jawapan positif kepada harapan presiden,” kata Draghi selepas rundingan di Istana Mattarella di Rom.

Masalah ekonomi adalah cabaran besar di Itali, yang merupakan negara pertama di Eropah yang menerima kesan penuh pandemik dan masih terkesan teruk se-hingga kini.

Lebih 89,000 orang mati kerana COVID-19 sementara penutupan perniagaan, sekatan pergerakan dan kejatuhan industri pelancongan menyebabkan kemelesetan ekonomi terburuk negara itu sejak berakhirnya Perang Dunia II.

Kerajaan menjangka lebih 200 bilion euro dalam tabung pemulihan Kesatuan Eropah (EU) untuk membantunya kembali pulih – tetapi mereka mempunyai sehingga bulan April untuk menyerahkan pelan perbelanjaan yang boleh diterima ke Brussels, ibu pejabat Kesatuan Eropah (EU).

“Ia bukan satu perjalanan yang selesa, tetapi kemahiran dan kepakaran Draghi akan membantu,” kata Lorenzo Codongno, seorang pakar ekonomi dan bekas pegawai tertinggi dalam kementerian ekonomi Itali.

Draghi, digelar “Super Mario” kerana tindakannya menenangkan pasaran semasa bertugas di ECB dari 2011 hingga 2019, sudah lama dibincangkan sebagai bakal penyelamat Itali.

Bursa saham Milan me-lonjak tiga peratus pada dagangan tengah hari kelmarin, dengan satu jangkaan pelantikannya sebagai perdana menteri sementara mendapat pujian dari Brussels.

“Ia pastinya bukan satu kejutan besar jika saya memberitahu anda bahawa Mario Draghi sangat dihormati dan dikagumi di bandar raya ini dan di tempat lain,” kata Margaritis Schinas, naib presiden Suruhanjaya Eropah.

Bagaimanapun, beberapa penganalisis menjelaskan bahawa Draghi, 73, ber-depan kesukaran untuk cuba menyatukan apa yang akan menjadi kerajaan ke-67 Itali sepanjang 75 tahun sejarah negara itu menjadi republik.

“Ketika ini, ia masih belum jelas jika satu majoriti dalam parlimen akan bersetuju menyokong Draghi sebagai perdana menteri,” ulas Wolfango Piccoli, presiden bersama syarikat jururunding Teneo.

Bakal perdana menteri Itali boleh mengharapkan sokongan parti berhaluan tengah kiri, Parti Demokratik (PD) dan parti bekas perdana menteri Silvio Berlusconi, Forza Itali, dan juga parti kecil berhaluan tengah.

Untuk mendapatkan majoriti, Draghi perlu mendapat sokongan parti Pergerakan Bintang Lima (M5S) atau parti berhaluan kanan, Parti Liga milik Matteo Salvini, tetapi sokongan mereka kurang dari terjamin.

M5S “tidak akan mengundi untuk pembentukan kerajaan teknokratik dipimpin oleh Mario Draghi,” kata pemangku presiden parti, Vito Crimi di laman sosial Facebook.

Salvini bagaimanapun memberitahu akhbar Corriera della Sera bahawa beliau bersedia untuk memberi sokongan untuk jangka pendek menjelang pilihan raya pada  “bulan Mei atau Jun”.

Mattarella jelas berkata beliau mahu mengelak pilihan raya awal, dengan kesukaran mengadakannya semasa pandemik.

Jika Draghi berjaya membentuk pakatan baharu, beliau dijangka akan memilih kabinet sebelum secara rasmi menjawat jawatan dan berdepan undian keyakinan dalam parlimen. — AFP

Advertisement