Anda di sini

Akses Facebook di Myanmar terjejas selepas rampasan kuasa tentera

Advertisement
 Seorang wanita menggunakan telefon bimbit  untuk memeriksa Facebook di Yangon semalam selepas akses ke rangkaian sosial itu disekat beberapa hari selepas rampasan kuasa tentera. — Gambar AFP
AKSES DISEKAT: Seorang wanita menggunakan telefon bimbit untuk memeriksa Facebook di Yangon semalam selepas akses ke rangkaian sosial itu disekat beberapa hari selepas rampasan kuasa tentera. — Gambar AFP

YANGON: Facebook semalam berkata perkhidmatannya terjejas di Myanmar, beberapa hari selepas tentera merampas kuasa.

“Kami menyedari pada masa ini beberapa orang mengalami gangguan untuk mengakses Facebook,” jurucakap rangkaian sosial itu memberitahu agensi berita AFP.

“Kami menggesa pihak berkuasa untuk memulih-kan semula akses supaya orang ramai dapat kembali  berkomunikasi dengan keluarga dan rakan-rakan mereka dan mendapatkan maklumat penting.”

Platform media sosial itu sangat popular di Myanmar dan ia adalah cara utama untuk komunikasi. Ia juga sering digunakan oleh kementerian kerajaan untuk mengeluarkan kenyataan rasmi.

NetBlocks, yang memantau masalah Internet di seluruh dunia, berkata penyedia perkhidmatan di Myanmar, menghalang atau mengehadkan akses ke Facebook, Instagram dan WhatsApp. Instagram dan WhatsApp juga dimiliki oleh Facebook.

“Produk Facebook sekarang dihadkan oleh penyedia perkhidmatan Internet di Myanmar ketika operator terpaksa mematuhi arahan yang diberikan oleh kerajaan tentera,” kata kumpulan itu di platform media sosial Twitter.

Penyedia perkhidmatan Internet kerajaan, MPT, telah mengambil langkah menghalang kebanyakan akses Internet, tambah kumpulan itu. — AFP

Advertisement