Anda di sini

Warga Malaysia antara lebih 6,000 individu terima regimen penuh vaksin COVID-19 di Singapura

Advertisement
 

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA: Sejumlah rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura merupakan antara lebih 6,000 individu yang telah mendapat suntikan kedua vaksin COVID-19 Pfizer-BioN Tech di sini, sekali gus melengkapkan regimen penuh vaksinasi itu.

“Alhamdulillah dan rasa sangat lega,” luah Imra Astata Ibrahim kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini selepas menerima suntikan vaksin kali keduanya di sebuah poliklinik di Pioneer di sini.

Beliau dan rakan senegara yang bekerja dalam sektor marin, antara sektor yang diberi keutamaan untuk vaksinasi, menerima suntikan pertama secara berperingkat sejak awal Januari lepas.

Imra Astata, 40, yang tidak teragak-agak menerima vaksin itu apabila ditawarkan oleh majikannya  menzahirkan rasa syukur kerana tidak perlu menunggu lama untuk menerima vaksin.

“Kini saya lebih bersedia menjalankan tugas seharian yang perlu berada di barisan hadapan,” kata anak kelahiran Johor itu.

Beliau hanya kembali ke Singapura untuk bekerja pada 24 Sept 2020, selepas enam bulan langkah-langkah memperketatkan pergerakan antara kedua-dua sempadan negara diperkenalkan pada Mac tahun lepas, bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Mudah-mudahan vaksin ini berkesan dan harap keadaan pulih seperti sedia kala,” kata bapa kepada tiga cahaya mata yang sentiasa meletakkan harapan dapat berulang-alik semula ke Johor seperti sebelum ini.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Singapura, sehingga 2 Feb lebih 175,000 individu telah menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech di sini dan kira-kira 6,000 daripada mereka juga telah menerima dos kedua.

Dalam masa dua minggu, kementerian itu memaklumkan mereka akan dilindungi sepenuhnya daripada COVID-19.

Vaksin Pfizer-BioNTech adalah vaksin COVID-19 pertama yang digunakan di Singapura dengan penghantaran pertama tiba pada 21 Dis lepas, sekali gus program vaksinasi dimulakan pada 30 Dis.

Sebagai nasihat kepada yang masih sangsi dengan vaksinasi COVID-19 ini, Imra Astata berkata: “Pastinya setiap kerajaan akan jalankan ujian klinikal. Jangan risau kesan sampingan juga sangat minimum."

“Kepada yang belum ambil (vaksin) jika ada peluang, ambillah,” katanya yang turut menolak tanggapan bahawa penerima awal suntikan seolah-olah menjadi 'tikus makmal'.

Beliau turut berkongsi hanya mengalami sengal dan sedikit kebas di tempat suntikan pada tiga hari terawal selepas suntikan pertama dan kembali normal untuk menerima suntikan kedua selepas 21 hari.

“Suntikan tidak menyakitkan...ia seperti mengambil suntikan vaksin BCG (Bacille Calmette-Guerin) ketika zaman sekolah,” katanya sebelum beredar menaiki motosikalnya untuk kembali bertugas.

Walaupun ia dilakukan secara sukarela, Singapura telah memperuntukkan kepada semua rakyatnya dan penduduk jangka panjang di negara itu untuk menerima vaksin sebelum akhir 2021 secara percuma.

Singapura pada 3 Februari lepas juga telah memberi kelulusan sementara bagi vaksin COVID-19 keluaran Moderna, sebagai vaksin kedua digunakan di negara itu yang dijangka tiba pada Mac 2021. - Bernama 

Advertisement