Anda di sini

Lakonan romantis Janna & Dini dalam ‘Marry Me Senorita’

Advertisement
 

DRAMA bersiri ‘Marry Me Senorita’ merupakan sebuah lagi naskah adaptasi novel dengan judul yang sama nukilan Suri Ryana yang meng-angkat genre romantik terbitan syarikat produksi Juita Viden Sdn Bhd.

Drama 28 episod arahan sutradara Nur Ain Sharif ini turut menampilkan pengarah prolifik, Michael Ang selaku penerbit serta barisan penulis skrip yang terdiri daripada Rehal Nurharis dan Dayang Kartinah

‘Marry Me Senorita’ bersiaran pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 2 Februari menerusi slot Megadrama secara eksklusif di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Pengurus Saluran Astro Ria Emarina Kamal berkata, “Bagi mengukuhkan kedudukan Astro sebagai destinasi utama penggemar drama-drama Melayu, kami amat berhati-hati dalam segi pemilihan naskah kerana para penonton alaf baharu masa kini bijak menilai serta turut dihidangkan dengan variasi pilihan yang fleksibel. Setiap kandungan haruslah seimbang daripada segi kualiti produksi, populariti, jalan penceritaan, keberkesanan mutu lakonan dan sebagainya.

“Terbaru, kami bawakan sebuah lagi drama bersiri yang diadaptasi daripada novel ‘Marry Me Senorita’ khusus buat tontonan semua. Pemilihan novel ini untuk diangkat ke dalam bentuk drama adalah berasaskan jalan ceritanya yang tersendiri dan kejayaan novel tersebut yang mendapat sambutan hangat dan laris terjual sewaktu ia diterbitkan.

“Kami percaya ia mampu menarik perhatian penonton terutamanya daripada kalangan pembaca novel yang pastinya ingin menyaksikan visual karya tersebut apabila diterjemahkan dalam bentuk drama bersiri,” katanya.

Kredibiliti Janna Nick selaku pelakon tidak perlu disangkal lagi. Manakala Dini Scatzmann juga mempunyai bakat dan potensi besar untuk menempa nama dalam bidang lakonan.

Keserasian pasangan ini yang kini sedang dalam fasa bahagia sebagai kekasih di alam nyata seperti yang dapat kita saksikan secara terbuka terutamanya di platform sosial media juga merupakan antara faktor utama pemilihan mereka selaku teraju utama. Malah, drama ini turut dijayakan oleh barisan pelakon hebat tanah air.

Meskipun masih baru, Dini Schatzmann diberi kepercayaan untuk memegang watak utama buat pertama kali bagi drama di slot Megadrama. Selain itu, drama ‘Marry Me Senorita’ juga turut menyaksikan Dini menyahut cabaran melakonkan watak berat dan penuh emosi berbanding watak-watak lain yang pernah dibawakan olehnya sebelum ini.

Drama ‘Marry Me Senorita’ juga turut menjadi batu loncatan kepada bintang-bintang baru yang berbakat besar untuk mencipta nama dalam bidang lakonan sekaligus menempatkan diri sebaris pelakon sedia ada. Antaranya pelakon baru yang turut diketengahkan termasuklah Nabil Aqil, Asha Merican, Meerqeen, Siti Khadijah Halim serta ramai lagi.

‘Marry Me Senorita’ mengisahkan tentang Sofiy Leia yang dipaksa meninggalkan rumah oleh ibu saudaranya sebaik sahaja bapa saudara Sofiy meninggal dunia.

Dia dikejar dan untuk menyelamatkan dirinya, dia mencari perlindungan di bawah gazebo di mana Isa Alejandro juga turut berehat. Oleh kerana keadaan hujan lebat dan matahari sudah terbenam, Sofiy tidak mempunyai pilihan selain bermalam di sana. Walaupun dia menganggap Isa adalah seorang yang sombong, namun dia tetap menceritakan kisah tentang apa yang telah berlaku dalam hidupnya.

Isa mengingatkan Sofiy agar tidak terlalu mempercayai rakan baiknya, Tina. Sebaik sahaja Sofiy sampai di Kuala Lumpur, dia melihat perubahan pada Tina tetapi masih berusaha memikirkan yang baik-baik. Tina berjanji akan membantu Sofiy mencari pekerjaan.

Sofiy panik apabila Tina cuba menjualnya kepada bos tempat dia bekerja dan Sofiy memanggil Isa untuk meminta pertolongan. Setelah menyelamatkan Sofiy, Isa membawanya ke rumah datuk dan nenek Isa.

Dia terkejut ketika Isa memperkenalkan dirinya sebagai bakal isteri. Isa meminta Sofiy untuk menikahinya bagi membantu memulihkan kepercayaan datuknya dan pada masa yang sama membantu memastikan keselamatan Sofiy dari Tina dan majikannya. Sofiy terpaksa bersetuju kerana dia menyedari bahawa dia sedang diburu oleh Tina.

Sofiy memaksa Isa untuk menceraikannya sebelum menikahi Rossa. Sebaik sahaja mereka bercerai, Sofiy melanjutkan pelajarannya ke luar negeri dan berusaha untuk tidak memikirkan Isa walaupun dia masih sangat mencintainya. Apa yang akan berlaku kepada Isa selepas perceraian? Adakah cinta mereka akan mekar kembali?

Ikuti kesudahan ‘Marry Me Senorita’ menerusi slot Megadrama secara eksklusif di Astro.

Advertisement