Anda di sini

NLD gesa junta tentera bebas Suu Kyi, pemimpin lain

Advertisement
 Pendatang Myanmar memegang gambar ketua tentera Myanmar Min Aung Hlaing ketika tunjuk perasaan di luar kedutaan Myanmar di Bangkok kelmarin selepas junta tentera menahan Aung San Suu Kyi dan beberapa pemimpin lain NLD. — Gambar AFP
PROTES: Pendatang Myanmar memegang gambar ketua tentera Myanmar Min Aung Hlaing ketika tunjuk perasaan di luar kedutaan Myanmar di Bangkok kelmarin selepas junta tentera menahan Aung San Suu Kyi dan beberapa pemimpin lain NLD. — Gambar AFP

YANGON: Parti Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) yang digulingkan di Myanmar menyeru bagi pembebasan Aung San Suu Kyi dan pemimpin lain yang ditahan semalam, menyifatkan rampasan kuasa pada sehari sebelumnya sebagai satu “kotoran” dalam sejarah ketenteraan.

Suu Kyi, pemimpin de facto Myanmar, telah ditahan oleh pihak tentera pada awal pagi kelmarin bersama dengan Presiden Win Myint.

Pihak tentera melantik se-orang bekas jeneral sebagai presiden dan menye-rahkan kuasa perundangan, kehakiman dan eksekutif kepada ketua tentera Min Aung Hlaing, secara efektifnya mengembalikan negara kepada pemerintahan tentera secara langsung selepas eks-perimen selama 10 tahun dengan demokrasi.

Tidak ada berita rasmi mengenai di mana Suu Kyi berada sejak pengambilalihan itu walaupun sumber parti telah memberitahu AFP mereka mempercayai beliau sekarang berada di bawah “penahanan di rumah” di ibu negeri Naypyidaw.

Semalam, partinya  telah menyeru bagi pembebasan kesemua mereka yang ditahan ketika rampasan kuasa.

“Bebaskan semua tahanan termasuk presiden (Win Myint) dan Kaunselor Negara (Suu Kyi),” menurut parti dalam satu dokumen yang dihantar  dalam laman rasmi Facebooknya.

Ia turut menuntut pihak tentera menerima keputusan pilihan raya umum 2020 yang telah disahkan.

“Kami melihat rampasan kuasa ini sebagai satu kotoran dalam sejarah Negara dan Tatmadaw,” katanya, merujuk kepada pihak tentera dengan nama Burmanya.

NLD telah menang tipis dalam pilihan raya November dengan pengundi memberikan kekalahan kepada parti-parti yang berkaitan dengan tentera.

Sejak itu pihak tentera telah mendakwa wujud kejanggalan dalam undian dan me-nuntut satu siasatan terhadap senarai pengundi.

Pihak tentera mengesahkan rampasan kuasa kelmarin di atas dasar kegagalan bagi pilihan raya secara bebas dan adil.

Ia melaksanakan perintah darurat selama setahun, selepas ia menyatakan ia akan mengadakan pilihan raya sebelum mengembalikan negara kepada kerajaan awam.

Ia masih belum jelas berapa ramai anggota NLD dan Ahli Parlimen yang ditahan, namun komunikasi telefon telah mengalami masalah teruk dengan ramai anggota parti sejak kelmarin.

Sumber parti berkata, kira-kira 25 Ahli Parlimen NLD ditahan di kediaman mereka di Naypyidaw. — AFP

Advertisement