Anda di sini

JRTM akan menjadikan Sarawak terkenal di dunia

Advertisement
 Penerbitan JRTM yang pertama secara maya hari ini.
LANCAR: Abdul Karim (empat kiri) bersama tetamu kehormat lain semasa majlis pelancaran Forum: Penerbitan JRTM yang pertama secara maya hari ini.

KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yakin Jurnal Pengurusan Pelancongan Bertanggungjawab (JRTM) yang dilancarkan Ogos tahun lalu akan menjadikan Sarawak terkenal di peta dunia.

“Melihat penerbitan pertama JRTM yang mengandungi tujuh artikel dari Malaysia, Australia, Singapura, Taiwan, Indonesia dan Jepun, (bagi saya) ia pencapaian yang agak baik.

“Saya turut dimaklumkan bahawa lebih 50 ahli Lembaga Pengarang dari lebih 20 negara terlibat dalam penerbitannya. Saya tahu ia sebuah jurnal yang mempunyai reputasi menarik bagi penonton antarabangsa dan JRTM jurnal baharu serta dalam masa singkat mampu setanding itu, sememangnya wajar diberi pujian,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Forum: Penerbitan JRTM yang pertama secara maya di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Abdul Karim berkata sebagai rakyat Sarawak, beliau bangga melihat JRTM diurus rakyat Sarawak sendiri dan berasa bangga kerana melihat ramai sarjana serta pengamal antarabangsa bekerjasama menerbitkan jurnal itu.

“Sebab itulah saya sangat gembira kerana forum ini membolehkan penceramah dan peserta, yang hadir di sini serta secara dalam talian boleh berkongsi aspek-aspek berbeza pelancongan bertanggungjawab serta belajar antara satu sama lain.

“Walaupun forum ini lebih kepada acara akademik, ia juga bermakna untuk para peserta. Saya benar-benar berharap komunikasi dan kolaboratif antara ahli akademik dan pemain industri serta penduduk tempatan juga antarabangsa memperkukuhkan hubungan bagi meningkatkan pengetahuan termasuk amalan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan pengurusan pelancongan bertanggungjawab,” ujarnya.

Abdul Karim juga berharap UCSI University akan memperkukuhkan lagi kerjasama dengan kementeriannya yang sudah terjalin sejak beberapa tahun lalu.

“Mereka (UCSI University) berjumpa dengan saya dari semasa ke semasa, mengetengahkan idea baharu serta inovatif untuk meningkatkan lagi inisiatif-inisiatif pelancongan negeri Sarawak.

“Malah ketika pandemik COVID-19 ini, mereka tidak pernah jemu bekerjasama dengan kementerian saya dan sentiasa tampil de-ngan sesuatu yang berguna bagi melengkapkan usaha serta perancangan kita,” katanya.

Abdul Karim berkata, de-ngan mengetengahkan idea bersama menerusi wacana dan penerbitan berterusan, belajar serta bekerja antara satu sama lain, pelancongan dapat dipraktikkan secara bertanggungjawab dan ada kesinambungan.

JRTM diterbitkan oleh Persatuan Penyelidik Sarawak dan Fakulti Hospitaliti dan Pengurusan Pelancongan UCSI University Kampus Sarawak dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MTAC) Sarawak serta Pusat Kepakaran Wilayah (REC) Kuching.

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting, Setiausaha Tetap MTAC Hii Chang Kee, Timbalan Naib Dekan UCSI University Malaysia Profesor Emeritus Dr Phang Siew Moi (menyertai forum secara dalam talian) dan Ketua Pegawai Eksekutif UCSI University Kampus Sarawak Mukvinder Sandhu Kaur.

Advertisement