Anda di sini

Anak jalanan Pala'u tidak faham bahaya COVID-19

Advertisement
 

Oleh Fadzli Ramli

KETIKA rakan seusianya dihalang keluar rumah berikutan pandemik COVID-19 masih ‘membadai’ Sabah, Rody Zairan, 10, tetap meneruskan rutin harian mengemis dan mengais timbunan sampah di sekitar bandar raya Kota Kinabalu demi mengalas perut.

Fenomena kumpulan kanak-kanak berjalan ke sana sini dengan tidak tentu tujuan sememangnya biasa dilihat di tengah-tengah bandar ini terutama pada hujung minggu.

Kebanyakan mereka bukanlah warganegara Malaysia sebaliknya etnik Pala'u yang tidak mempunyai mana-mana kerakyatan.

Etnik Pala'u atau lebih dikenali sebagai 'Bajau Laut' menjalani kehidupan secara nomad di laut sekitar Sabah serta di Indonesia dan Filipina, namun arus modenisasi membuatkan mereka mula ‘berhijrah’ ke bandar dengan harapan akan memperolehi pendapatan yang jauh lebih baik.

CABARAN, PENGALAMAN

Rody serta dua lagi rakannya dilihat mengetuk cermin kereta pengguna jalan raya yang berhenti seketika di lampu isyarat, sambil mendekatkan tangan ke mulut tanda memohon ihsan untuk membeli makanan.

Mendekati kumpulan kanak-kanak itu, penulis cuba mendalami cabaran dan pengalaman yang dilalui.

Mereka tidak boleh membaca dan mengira kerana tidak bersekolah jauh sekali memahami isu semasa berkaitan COVID-19.

Meskipun tahu apa itu COVID-19 namun hakikatnya mereka tidak faham sejauh mana pandemik itu boleh membahayakan diri sendiri mahupun orang sekeliling.

Buktinya, penat seharian merata berjalan bertemu ramai orang, Rody tidak tahu adakah dirinya berisiko dijangkiti COVID-19 serta tidak faham bagaimana pandemik itu boleh berjangkit daripada seorang individu kepada individu lain.

"Selalu dengar juga pasal COVID-19, jenis penyakit boleh berjangkit sekarang ini ada tetapi itu sahaja saya dan kawan-kawan tahu… Saya tidak sekolah jadi tidak banyak tahu," katanya sambil menikmati burger bersama rakan yang dibelikan penulis dengan penuh berselera.

Ditebak lagi dengan soalan, “Apa itu prosedur operasi standard (SOP) mencegah COVID-19?”, Rody pantas menggeleng kepala.

Rody cuma tahu orang ramai memakai pelitup muka untuk mencegah COVID-19 tetapi tidak faham bagaimana ia sebenarnya berfungsi membantu mengekang penularannya.

Sebelum berlalu penulis sempat menghulurkan beberapa bungkus burger sebagai bekalan di samping turut ‘menghadiahkan’ cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada kanak-kanak itu serta menunjukkan cara pemakaian yang betul.

Pesan penulis, pemakaian pelitup muka penting sebagai ‘perisai’ untuk mencegah jangkitan dan tidak menyebar virus kepada orang lain (sekiranya dijangkiti) selain mereka juga perlu sentiasa menjaga jarak fizikal apabila bertemu orang ramai.

Sempat penulis bertanya sejauh mana Rody dan rakan-rakannya takut akan ancaman COVID-19 yang boleh membawa maut, Rodi menjawab, “Memang takut dijangkiti tetapi kami lebih takut jika tiada makanan dan perut lapar,” katanya tersenyum pahit.

FIKIR MASA DEPAN

Turut berkongsi cerita, Mahusin Anding, 41, seorang etnik Pala’u yang telah memiliki taraf warganegara selepas berkahwin dengan warga tempatan sekitar 10 tahun lepas.

Mahusin yang bekerja sebagai pekerja binaan di Tuaran berkata, meskipun kebanyakan orang dewasa etnik itu faham mengenai ancaman COVID-19 namun ramai memilih untuk tidak mempedulikannya dan terus mengemis disebabkan desakan hidup selain menganggap ia ‘jalan pintas’ mendapatkan wang. 

“Tiada taraf warganegara memang sukar untuk memperoleh pekerjaan namun lebih menyedihkan apabila ada dalam kalangan etnik ini merisikokan nyawa anak-anak mereka untuk terus mengemis sekali gus terdedah kepada bahaya pandemik.

“Ada kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) datang bantu memastikan orang Pala’u tidak ‘kena’ COVID-19 dan cuba ubah hidup mereka tetapi ada yang tidak mahu. Mereka ini jika tidak pedulikan diri sendiri perlu fikir masa depan anak-anak mereka,” luah bapa kepada empat orang cahaya mata itu. 

Mahusin berkata terdapat kes anak jalanan Pala'u dieksploitasi oleh pihak tertentu antaranya termasuklah sindiket jenayah bagi tujuan meraih wang daripada aktiviti meminta sedekah atau menjual makanan ringan seperti kerepek dan tisu.

Ditanya pandangan beliau tindakan yang wajar diambil bagi memastikan anak-anak jalanan Pala’u tidak terdedah kepada risiko COVID-19 di samping dapat mengubah masa depan mereka, lelaki itu hanya mampu menghela nafas panjang.

“Susah mahu bantu mereka kerana orang Pala’u ini sudah biasa hidup bebas sejak turun-temurun, tidak terikat dengan hidup moden bayar itu ini hujung bulan dan bila sakit mereka ada cara ubati sendiri.

“Sukar untuk kita minta mereka ubah cara hidup yang mereka dah selesa,” katanya sambil menambah cara hidup bebas tanpa tempat tinggal khusus etnik Pala'u amat berisiko mendedahkan golongan itu kepada COVID-19.

ATASI MASALAH

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata pihak berkuasa sedang berusaha menangani masalah berkenaan.

 Beliau yang juga jurucakap rasmi COVID-19 Kerajaan Negeri Sabah berkata pihak berkuasa tempatan, polis dan Jabatan Imigresen sering menjalankan operasi bersepadu terhadap gelandangan termasuk yang melibatkan etnik Pala’u bagi memastikan mereka tidak menjadi ejen penyebar COVID-19.

“Mereka yang berstatus warganegara ditempatkan di pusat jati diri manakala bukan warganegara pula diserahkan kepada Jabatan Imigresen di samping kerajaan negeri turut berkerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk menjalankan ujian saringan COVID-19 sekiranya ada keperluan.

“Bagaimanapun, sebarang isu melibatkan orang Pala’u ini bukan mudah untuk diselesaikan. Jalan penyelesaian mudah dinyatakan tetapi agak sukar dilaksanakan.

“Apabila kita kesan ada anak-anak dan ahli keluarga mereka, sekejap sahaja mereka ‘menghilangkan diri’ sebelum sempat dibantu," katanya sambil menambah terdapat etnik Pala'u yang berjaya dibantu mengubah status kehidupan mereka daripada gelandangan kepada individu yang mempunyai pekerjaan tetap serta mampu menyara keluarga.

Kerajaan negeri katanya turut mengalu-alukan mana-mana pihak serta NGO untuk berkerjasama membantu menyelesaikan sebarang isu melibatkan etnik berkenaan termasuk berjumpa Jabatan Kebajikan Masyarakat dan berbincang kaedah gerak kerja serta mencari penyelesaian terutama bagi menyedarkan orang Pala'u akan bahaya COVID-19.

"Usaha penyelesaian ini memerlukan kesabaran bukan sahaja daripada pihak kita tetapi semua pihak terutama yang melibatkan isu kewarganegaraan. Pelbagai cabaran kita hadapi untuk memastikan isu ini diselesaikan dengan lebih berkesan," katanya. - Bernama

Advertisement