Anda di sini

Wanita China dituduh edar dadah dilepas tanpa dibebaskan 

Advertisement
Shankar (kanan) menjelaskan kepada anak guamnya (kiri) mengenai kes tersebut.
Shankar (kanan) menjelaskan kepada anak guamnya (kiri) mengenai kes tersebut.

KUCHING: Seorang wanita warganegara China menarik nafas lega apabila Mahkamah Majistret di sini, hari ini melepas tanpa membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah pada Oktober tahun lepas.

Tertuduh, Yang Jinxia, 26, sebaliknya mengaku bersalah apabila didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki 1.65 gram dan 1.28 gram Ketamin.

Dia terdahulu dituduh mengikut Seksyen 39B ADB 1952 yang didakwa dilakukannya pada 24 Oktober 2020, jam 2.30 petang di sebuah pangsapuri di Jalan Petanak, dekat sini. 

Akibat perbuatan itu, tertuduh yang bekerja sendiri itu dijatuhi hukuman penjara dua bulan enam hari.

Wanita tersebut dikatakan telah selesai menjalani hukuman penjara berikutan mahkamah menetapkan hukuman dikuat kuasakan dari tarikh tangkap iaitu pada 24 November 2020.

Terdahulu, peguam Shankar Ram yang mewakili tertuduh memaklumkan mahkamah bahawa dadah tersebut adalah terdiri daripada serbuk jus buah-buahan.

Justeru, Shankar menerusi penghujahannya berkata, komponen dadah dalam jus yang lebih dikenali sebagai jus betik itu, hanyalah berjumlah sedikit setelah keluarnya laporan kimia dan hukuman yang sepatutnya diberikan adalah denda anggaran lebih kurang RM2,000.

“Kes ini juga melibatkan kepentingan awam kerana apabila anak guam saya ditahan bersama dua atau beberapa paket jus tersebut, dia terus didakwa mengikut pertuduhan tentatif di bawah Seksyen 39B ADB 1952.

“Akibatnya, anak guam saya ditahan selama lebih kurang dua bulan enam hari di Penjara Puncak Borneo. 

“Sehubungan itu, saya mohon agar tempoh tahanan tersebut diambil kira sebagai hukuman penjara dan mahkamah tidak mengenakan sebarang denda terhadap anak guam saya,” ujar Shankar semasa prosiding. 

Pendakwaan dikendalikan secara berasingan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad dan Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang di hadapan Majistret Zaiton Anuar dan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

  • oleh
  • Advertisement