Anda di sini

PKP di Kapit dan Song selama dua minggu mulai 2 Feb - JPBNS

Advertisement
 

KUCHING: Perintah Kawalan Pergerakan akan dilaksanakan di daerah Kapit dan Song, berkuat kuasa 2 Februari ini.

Perkara ini diputuskan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) susulan peningkatan kes positif COVID-19 di daerah-daerah tersebut. 

Menurut JPBNS, PKP akan berlangsung di dua daerah itu selama dua minggu iaitu sehingga 15 Februari.

"PKP bagi daerah Kapit dan daerah Song akan berkuat kuasa pada 2 Februari 2021, jam 12.01 pagi sehingga 15 Februari 2021 jam 11.59 malam (14 hari)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, PKP turut dilaksanakan di Sibu yang mana dilanjutkan dari 30 Januari hingga 14 Februari 2021.

Manakala pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di bahagian lain di Sarawak berkuat kuasa pada 1 Februari hingga 14 Februari 2021.

Sementara itu, Jawatankuasa memaklumkan hari ini daerah Song, Dalat, Bintulu, Kanowit, Beluru, Miri, Sibu dan Kuching kekal berstatus merah dengan sejumlah 1,993 kes jangkitan tempatan dilaporkan di lapan daerah ini dalam tempoh 14 hari yang lepas.

“Daerah Kapit, Sarikei, Subis dan Betong juga kekal berstatus jingga dengan 120 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari lalu.

“Manakala daerah Matu, Daro, Lundu, Sebauh, Lawas, Telang Usan, Bukit Mabong, Tatau, Bau, Pakan, Serian, Belaga, Meradong, Julau, Simunjan, Lubok Antu, Selangau, Samarahan dan Sri Aman turut kekal berstatus kuning dengan jumlah keseluruhan 148 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas,” katanya.

Sementara sembilan daerah lain di Sarawak kekal berstatus hijau.
 

  • oleh
  • Advertisement