Anda di sini

Isu anak luar nikah, stigma masyarakat terlalu tinggi: Fatimah

Advertisement
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

KUCHING: Stigma masyarakat yang memandang keji perempuan mengandung dan melahirkan anak luar nikah membuatkan mereka berasa malu, kemurungan dan enggan berkongsi masalah.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, stigma masyarakat terlalu tinggi sehinggakan mereka tidak dapat meneruskan kehidupan.

“Disebabkan itu, kes buang bayi berlaku kerana mereka tidak tahu di mana untuk mendapatkan bantuan dan sistem sokongan.

“Sedangkan, setiap bayi itu berhak untuk hidup. Malah, ramai anak-anak ini menjadi mereka yang berguna serta dapat membantu dan mengembangkan keluarga atau masyarakat,” ujarnya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Sehenti Remaja Hamil (OSTPC) Peringkat Negeri Sarawak Bil 1/2021 secara maya, hari ini.

Menurutnya, hasil temu bual pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), isu kehamilan remaja di luar ikatan pernikahan sangat kompleks kerana dipengaruhi banyak faktor.

“Antaranya, pergaulan bebas remaja, pengaruh isu dadah dan substan, jenayah seksual (rogol, sumbang mahram), kawalan yang longgar daripada ibu-bapa atau penjaga, masalah keluarga, kemiskinan keluarga dan keinginan untuk hidup mewah.

“Juga, pendedahan awal atau tidak ada kawalan kepada kandungan media sosial, pengetahuan pendidikan seksual yang rendah, keciciran sekolah serta kurang pendidikan agama dan nilai moral.

"Tidak ada guna untuk mempersalahkan remaja perempuan sahaja, ia merupakan tanggungjawab kita bersama dan lelaki juga perlu diajar untuk bertanggungjawab,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement