Anda di sini

Transit sementara gelandangan dibuka di Sibu

Advertisement
Fatimah menyampaikan bantuan kepada seorang gelandangan di sekitar pusat Bandar Raya Kuching, malam Rabu
Fatimah menyampaikan bantuan kepada seorang gelandangan di sekitar pusat Bandar Raya Kuching, malam Rabu

KUCHING: Sebuah tempat transit gelandangan sementara diaktifkan semula di Sibu untuk kegunaan gelandangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan, Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah yang berkata demikian, menambah transit itu menggunakan sebuah rumah rehat kerajaan.

"Kita telah aktifkan semula tempat transit gelandangan di Sibu iaitu di sebuah rumah rehat kerajaan. Kita akan menempatkan gelandangan yang kita dapat selamatkan di situ.

"Ini kerana seperti yang kita sedia maklum, sepanjang tempoh PKP ini, semua orang tidak dibenarkan bergerak sesuka hati dan semua gelandangan yang kita tempatkan di situ boleh tinggal sehingga habis PKP," katanya ketika mengetuai Operasi Tinjauan Gelandangan di sini, malam Rabu.

Menurutnya, makanan serta keperluan asas lain turut disediakan di tempat transit tersebut dan saringan kesihatan juga akan dibuat terhadap kesemua gelandangan yang dibawa masuk ke pusat tersebut.

"Sebagai sebuah masyarakat dan kerajaan prihatin, kita nak pastikan tiada yang tertinggal daripada menerima perhatian dan tindakan sewajarnya," katanya.

Sementara itu, Fatimah turut memberitahu pembukaan Tempat Transit Untuk Gelandangan (TTUG) di Sibu yang dijadualkan pada Februari ini ditangguhkan disebabkan PKP.

"TTUG ini masih dalam proses pengubahsuaian bangunan dan ia sepatutnya siap sepenuhnya pada Februari, namun PKP jadi tarikhnya dianjakkan lagi. Apabila siap kelak, akan ada tempat untuk gelandangan tidur pada malam hari dan siang hari mereka boleh ke tempat yang hendak ditujui, sama ada bekerja atau lain-lain," katanya.

Tempat tersebut hanya transit untuk gelandangan agar mereka boleh mandi dan mencuci pakaian.

"Makanan juga disediakan kerana kita tidak mahu mereka kelaparan. Selain itu, kita juga menyediakan pasukan kesihatan dan kaunseling yang akan membantu, membimbing mereka," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu dengan menyumbangkan makanan, pakaian atau lain-lain keperluan asas juga digalakkan.

"Untuk Kuching juga kita telah mengenalpasti lokasi pembinaan TTUG dan kita dalam proses menyiapkan kertas kerja," katanya lagi.

Operasi Tinjauan Gelandangan yang dijalankan dari jam 9 malam, mengesan lima gelandangan iaitu di kawasan Lebuh India dan Tebingan Kuching.

Dalam operasi itu beliau menyampaikan bantuan makanan, beg tidur dan  kit kebersihan diri.

  • oleh
  • Advertisement