Anda di sini

Rahimah terjerat antara krisis luaran dan dalaman sajian terbaru di TV3

Advertisement
 

SEMENJAK pengumumannya di laman media sosial rasmi TV3 Malaysia, drama ini telah mendapat perhatian netizen. Dengan tajuk uniknya, ‘Rahimah Tanpa Rahim’ sudahpun tular di media sosial sebelum waktu siarannya.

Sebuah drama yang mengutarakan isu sindrom Mayer-Rokitansky-Küster-Hauser (MRKH), satu kondisi di mana seorang wanita dilahirkan tanpa rahim dan tidak mampu untuk melahirkan anak.

‘Rahimah Tanpa Rahim’ ini mendapat bimbingan rapat daripada penulis kreatif dan juga Pengasas Kumpulan Sokongan MRKH Malaysia, Wani Ardy yang bekerja sama dengan kru produksi Country & Universal Sdn Bhd terutamanya penulis skrip, Puovin dan Tommy Loh serta pengarah Eoon Shuhaini dalam penghasilan drama ini.

Wani Ardy turut memberi bimbingan kepada Puteri Aishah dalam memahami sindrom MRKH dan menjiwai watak Rahimah.

Drama 28 episod ini juga membariskan pelakon-pelakon hebat seperti Puteri Aishah, Azlee Khairi, Ezzaty Abdullah, Hafidz Roshdi, Mustaqim Bahadon, Lizza Abdullah, Amelina dan ramai lagi.

Mengisahkan tentang Rahimah (Puteri Aishah) yang menghidap sindrom MRKH. Rahimah merupakan seorang yang penyayang dan baik hati kepada semua orang di sekelilingnya.

Sungguhpun kehidupan hariannya sentiasa dicemuh oleh ibu tirinya, Mak Aini (Lizza Abdullah), namun Rahimah tetap cuba untuk menyesuaikan diri di kampungnya dengan membantu jiran-jirannya.

Dalam masa yang sama, bapa Rahimah, Pak Akob (Badrul Muhayat) sering kelihatan mesra dengan rakan karib anaknya, Shida (Diana Dee DFKL).

Perbuatan ini mampu dihidu oleh Rahimah, tetapi setiap kali Rahimah cuba untuk memberitahu Mak Aini, Mak Aini akan memarahinya kerana tidak mempercayai kata-kata Rahimah.

Rahimah kemudi-annya bertemu dengan Jauhar (Azlee Khairi), pengasas NGO remaja bermasalah. Ada sesuatu tentang keikhlasan dan kenaifan Rahimah yang menarik Jauhar untuk cuba membantunya.

Namun kerana masalah itu melibatkan keluarganya, Rahimah takut maruah keluarga tergadai dan semakin cuba untuk menjarakkan diri daripada Jauhar.

Mengeruhkan lagi keadaan adalah Mak Aini yang tidak suka Rahimah berhubungan dengan Jauhar kerana tidak mahu nama keluarganya terpalit dengan tuduhan dan fitnah orang kampung.

Sebagai seorang yang amat tegas menjaga nama baik dan maruah keluarganya, Mak Aini cukup pantang apabila orang kampung berbicara buruk tentang keluarganya.

Namun, keberangan Mak Aini memuncak apabila terjadi suatu tragedi yang melibatkan Pak Akob dan bermula daripada peristiwa itu, Mak Aini mengambil tindakan untuk menghalau Rahimah dari rumah selama-lamanya.

Apakah kaitan Rahimah dengan kes Pak Akob itu? Mampukah perempuan tidak sempurna ini bertahan dalam kehidupannya? Dan adakah Mak Aini mampu pertahankan nama baik keluarganya?

Dapatkan jawapan bagi persoalan-persoalan ini dalam drama ‘Rahimah Tanpa Rahim’, yang menghiasi slot Akasia setiap Isnin hingga Jumaat, pada jam 7 hingga 8 malam.

Dapatkan maklumat terkini mengenai semua drama TV3 di xtra.com.my serta laman media sosial rasmi Facebook, Instagram dan Twitter TV3 Malaysia dan Drama Sangat.

Advertisement