Anda di sini

Pengundi pembangkang bukan 'golongan sesat'

Advertisement
 

KUCHING: Pengundi pembangkang terutama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ba' Kelalan tidak wajar dilabelkan sebagai 'golongan sesat', kata Baru Bian (gambar).

Ahli DUN Ba' Kelalan itu berkata istilah golongan sesat tidak wajar digunakan Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Orang Ulu (OUCCI) Datuk Mutang Tagal bagi menggambarkan hanya mereka menyokong Gabungan Parti Sarawak (GPS) betul dalam politik. 

Di sesebuah negara mengamalkan demokrasi, beliau percaya rakyat mempunyai kebebasan untuk memilih dan menyokong mana-mana parti politik atau calon dalam pilihan raya.

"Tiada istilah golongan sesat apabila bersama parti-parti pembangkang. Parti-parti politik dan keseimbangan kuasa mungkin berubah seperti apa yang berlaku selepas PRU ke-14 (Pilihan Raya Umum ke-14) saya menjadi menteri persekutuan," kata Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Sarawak (PSB) itu dalam kenyataan media, pada Rabu.

Mengenai dakwaan Mutang bahawa Ba' Kelalan terlepas jutaan ringgit dalam bentuk dana pembangunan, Baru berkata ia membuktikan fakta GPS (sebelum ini Barisan Nasional) kerajaan tidak adil serta pendendam.

Kerajaan yang dipilih menurutnya bertanggungjawab melaksanakan pembangunan tanpa mengira haluan politik.

"Ini merupakan antara alasan saya tidak boleh menyokong parti-parti BN atau GPS. Apa yang dikatakan oleh Mutang itu memantapkan lagi pendirian saya," katanya.

Berdasarkan dakwaan Mutang, kekurangan peruntukan untuk kawasan Ba' Kelalan juga harus dipertanggungjawabkan kepada Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong. Ba' Kelalan terletak dalam kawasan Parlimen Lawas.

Advertisement