Anda di sini

Lanjut permit pergerakan secara automatik sepanjang PKP

Advertisement
 Irene (kiri) memantau keadaan orang ramai yang memohon permit di balai polis.
AMBIL BERAT: Irene (kiri) memantau keadaan orang ramai yang memohon permit di balai polis.

SIBU: Permit pergerakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diberikan kepada pekerja harus dilanjutkan secara automatik sekiranya PKP dilanjutkan di bahagian ini selepas 29 Januari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Irene Chang dalam kenyataan media semalam berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) harus membuat pengumuman berhubung perkara ini agar tidak berlaku lagi kesesakan di balai polis.

“Permit ini harus sah se-panjang PKP bagi mengelakkan orang ramai menyerbu balai polis sekali lagi, yang membahayakan nyawa orang ramai dan pihak polis pada masa sama,” ujarnya.

Chang berkata, ramai yang marah dan kecewa sejak dua hari lepas apabila diminta memohon permit pergerakan ini terutama bagi pekerja perkhidmatan penting.

Pada Isnin lepas, JPBBS mengumumkan syarikat dan pekerja perkhidmatan penting perlu memohon permit pergerakan daripada pihak polis bagi para pekerja mereka.

“Kita menghargai usaha JPBBS melandaikan lekuk kes positif COVID-19 di Sibu namun polisi baharu ini telah menyukarkan ramai dan menyebabkan orang ramai memenuhi balai polis sejak dua hari lepas.

“Banyak kekeliruan sebelum ini kerana tiada garis panduan jelas berhubung cara permohonan dan maklumat yang diperlukan.

“Ini menyebabkan ada yang terpaksa pergi ke balai dua tiga kali,” jelasnya.

Chang juga mahu JPBBS memberikan senarai perkhidmatan penting yang jelas bagi memudahkan pihak polis menjalankan tugas mereka semasa menerima permohonan daripada orang ramai.

“Kita tidak boleh menyalahkan pihak polis dalam perkara ini kerana mereka mungkin tidak diberikan penerangan yang secukupnya mengenai perkhidmatan penting yang boleh dan tidak boleh beroperasi semasa PKP.

“Dan setelah ramai bersusah payah mendapatkan permit ini sejak dua hari lepas, dalam kebanyakan kes, permit yang diberikan hanya sah sehingga 29 Januari ini iaitu tarikh PKP dijangka tamat,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar JPBBS membenarkan permit ini terus digunakan semula sekiranya PKP dilanjutkan selepas 29 Januari ini.

  • oleh
  • Advertisement