Anda di sini

Gangguan bekalan air 63 kampung di Matunggong bakal selesai

Advertisement
 Julita (empat kanan) berada di lokasi paip pecah yang menjejaskan bekalan air penduduk kampung.
TINJAU: Julita (empat kanan) berada di lokasi paip pecah yang menjejaskan bekalan air penduduk kampung.

KUDAT: Kerja-kerja menyelenggara paip pecah oleh Jabatan Air Kudat di dua mukim dalam daerah Kecil Matunggong kini dalam proses pembaikan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Matunggong Datuk Julita Majungki berkata, penduduk kampung di kedua-dua mukim berkenaan telah mengadu mengalami masalah bekalan air sejak dua minggu lepas.

"Oleh itu, saya telah mengarahkan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) untuk menghubungi Jurutera Jabatan Air agar dapat bertindak dengan kadar yang segera. 

"Bagaimanapun, kakitangan Jabatan Air Kudat  mengalami sedikit kesulitan untuk memasuki kawasan kampung kerana keadaan hujan lebat yang turut mengakibatkan jalan sukar dilalui dan sebahagiannya runtuh," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, Jabatan Air juga sukar untuk menentukan lokasi kebocoran atau kerosakan paip disebabkan terjejas akibat bencana yang berlaku baru-baru ini.

Julita memberikan jaminan bahawa masalah bekalan air yang melibatkan  63 kampung dalam dua mukim ini akan dapat diselesaikan sepenuhnya sedikit masa lagi. 

"Kawasan paip pecah agak luas dan pihak Jabatan Air Kudat sedang berusaha membaikinya. Setakat ini sudah 70 peratus kerja penyelenggaraan berkenaan sudah siap dan bekalan air sudah dapat dibekalkan kepada semua kampung yang terjejas," katanya.

Julita yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat  dan Kesejahteraan Rakyat baru-baru ini meninjau ke lokasi paip pecah, beliau diiringi oleh Jurutera Jabatan Air Kudat, Khairul Faizi, Penolong Pegawai Daerah Francis Chong dan PPM Matunggong, Marius Masain.

  • oleh
  • Advertisement