Anda di sini

KPLB terus fokus laksanakan 539 projek infrastruktur dirancang untuk tahun 2021

Advertisement
Abdul Latiff berucap pada majlis amanat Tahun Baru 2021 KPLB secara langsung melalui Facebook semalam.
Abdul Latiff berucap pada majlis amanat Tahun Baru 2021 KPLB yang disiarkan melalui Facebook.

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan meneruskan fokus kepada projek-projek infrastruktur di luar bandar bagi tahun ini dengan sebanyak 539 projek infrastruktur yang dirancang untuk tahun 2021 dapat dilaksanakan mengikut jadual walaupun berhadapan dengan kekangan dan cabaran berikutan wabak COVID-19.

Menterinya, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, projek tersebut termasuk sambungan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang perlu diberi keutamaan, disegerakan dan dipantau rapi pelaksanaannya bagi memastikan projek berkaitan dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

“Jumlah peruntukan keseluruhan KPLB yang telah diluluskan untuk tahun 2021 adalah sebanyak RM10.2 bilion.

“Jumlah ini adalah RM431 juta atau 4.41 peratus lebih tinggi daripada peruntukan tahun 2020. Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6.65 bilion merupakan peruntukan sembilan pembangunan (DE) dan RM3.53 billion bagi peruntukan mengurus.

“Peruntukan yang besar ini perlu dibelanjakan secara optimum dan efektif dengan mengamalkan perbelanjaan kewangan berasaskan keberhasilan atau outcome based budgeting supaya dapat membantu golongan sasar,” katanya ketika menyampaikan amanat Tahun Baru 2021 KPLB secara langsung melalui Facebook baru-baru ini.

Pada masa sama, Abdul Latiff  berkata, bagi fokus kedua adalah untuk membasmi kemiskinan dan meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.

“Kita sedia maklum, Paras Garis Kemiskinan dipinda daripada RM960 kepada RM2,208 pada tahun 2019. Ini menyebabkan bilangan isi rumah miskin di luar bandar meningkat daripada 78,187 isi rumah pada bulan April 2020 kepada 182,116 isi rumah.

“Bilangan ini dijangka akan meningkat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang menyukarkan rakyat untuk keluar bekerja,” jelas beliau.

Sehubungan itu, KPLB akan menyelaraskan semula menyelaraskan semula 20 program untuk mengelakkan pertindihan dan mampu mengeluarkan mereka yang berkaitan daripada lingkaran garis kemiskinan. 

Selain itu, analisis data kemiskinan dan program lebih bersasar perlu dilaksanakan untuk memberikan impak positif kepada golongan miskin dan miskin tegar di luar bandar.

Abdul Latiff berkata, tumpuan juga perlu diberikan untuk meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar melalui memperkasakan ekonomi luar bandar dengan mempelopori sumber ekonomi baharu.

“Dalam hal ini, KPLB boleh bekerjasama dengan agensi lain seperti Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Jabatan Pertanian Malaysia untuk mendapatkan maklumat mengenai tanaman-tanaman baharu yang boleh diusahakan.

“Pada masa sama, KPLB akan memperkenal strategi baharu untuk aktiviti pelancongan desa dan ekopelancongan yang terkesan teruk berikutan penularan wabak COVID19, memandangkan aktiviti pelancongan desa dan ekopelancongan mempunyai kesan limpahan dan mampu meningkatkan pendapatan serta taraf hidup masyarakat luar bandar,”

“Selain itu, sistem rantaian bekalan dan pemasaran produk usahawan luar bandar juga akan diperkukuhkan.

“Ini boleh dilaksanakan menerusi Desamall@KPLB, di mana KPLB dan usahawan luar bandar boleh mengambil peluang semasa PKP ini untuk meningkatkan jualan atas talian. Selain itu, pembangunan outlet fizikal Rural Business Outlet (RBO@KPLB) dan menambahbaik peranan Pusat Komuniti Desa sebagai hab juga dapat membantu meningkatkan nilai jualan usahawan luar bandar,” katanya.

Jelas Abdul Latiff lagi, semua projek-projek yang telah dirancang perlu dilaksanakan berlandaskan konsep “do it right at the first time” bagi memastikan keberkesanan dan yang paling penting memenuhi jangkaan kumpulan sasar.

“Selain itu, KPLB juga perlu melihat elemen mesra alam sekitar, keberkesanan tenaga dan inovasi dalam pelaksanaan projek-projek di kawasan luar bandar sesuai dengan perkembangan dunia pada hari ini yang menekankan kepada ekonomi pekeliling dan penjagaan alam sekitar,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement