Anda di sini

Kerajaan Sarawak belanja RM196.7 juta bagi diskaun elektrik dan air di bawah BKSS 5.0

Advertisement
 

KUCHING: Lanjutan langkah di bawah Pakej Bantuan Sarawakku Sayang (BKSS 5.0) terus memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini termasuk dari segi bekalan air dan elektrik.

Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom (gambar) berkata, di bawah lanjutan BKSS 5.0 yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg baru-baru ini, kerajaan turut meneruskan diskaun bil elektrik bulanan dan diskaun bil air bulanan.

Katanya, di bawah inisiatif diskaun bil air, setiap isi rumah dengan akaun domestik akan terus menikmati 25 peratus diskaun, sementara pengguna domestik dan komersial akan menikmati 15 peratus diskaun dan pengguna industri menikmati 10 peratus diskaun.

“Ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 568,000 pengguna air di seluruh negeri.

“Bagi kes inisiatif diskaun elektrik, ia memberi manfaat kepada kira-kira 640,000 pengguna dimana pengguna domestik akan mendapat diskaun sehingga 25 peratus, pengguna komersial pada 15 peratus manakala pengguna industri pada lima hingga 10 peratus.

“Subsidi ini akan menelan belanja kerajaan negeri sebanyak RM196.7 juta untuk tempoh dari Januari hingga Jun tahun ini, iaitu dengan subsidi bagi diskaun bil air pada RM31.5 juta dan RM165.2 juta untuk diskaun bil elektrik,” katanya menerusi satu kenyataan, pada Selasa.

Beliau berkata lanjutan langkah-langkah BKSS 5.0 merupakan usaha kerajaan negeri untuk terus mengurangkan impak pandemik COVID-19, yang telah memberi kesan buruk kepada perniagaan dan kehidupan rakyat selain melindungi kesejahteraan mereka.

Dr Rundi berkata, kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan agensi pembekalan utiliti di negeri ini seperti Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak, Lembaga Air Kuching, Lembaga Air Sibu dan LAKU Management Sdn Bhd. 

“Ia bagi memastikan bahawa Sarawak dan rakyatnya akan mendapat akses kepada liputan 100 peratus utiliti boleh dipercayai, berkualiti, cekap dan berpatutan menjelang tahun 2025,” katanya. 

  • oleh
  • Advertisement