Anda di sini

Gol lewat Spurs pastikan layak ke pusingan kelima Piala FA

Advertisement
 Harry Winks (dua kanan) menjaringkan gol kedua buat pasukannya pada perlawanan Piala FA di antara Wycombe Wanderers dan Tottenham Hotspur di Stadium Adams Park, High Wycombe, London, kelmarin. — Gambar AFP
LEDAK: Harry Winks (dua kanan) menjaringkan gol kedua buat pasukannya pada perlawanan Piala FA di antara Wycombe Wanderers dan Tottenham Hotspur di Stadium Adams Park, High Wycombe, London, kelmarin. — Gambar AFP

HIGH WYCOMBE: Tottenham Hotspur memerlukan gol lewat untuk menewaskan kelab tercorot Liga Kejuaraan, Wycome 4-1 dengan tiga gol dijaringkan pada empat minit terakhir perlawanan pusingan keempat Piala FA Inggeris pada Isnin.

Pengurus Spurs, Jose Mourinho, meletakkan pemain utama seperti Harry Kane, Son Heung-min dan Tanguy Ndombele di bangku simpanan dengan Spurs berdepan jadual padat dalam empat pertandingan dalam beberapa bulan akan datang.

Tetapi kesemua tiga pemain itu diperlukan dalam separuh masa kedua untuk menewaskan Wycombe yang hanya menang tiga kali dari 23 perlawanan dalam Liga Kejuaraan musim ini.

“Sikap pemain adalah sangat bagus. Pemain yang dimasukkan dari bangku simpanan dengan hasrat untuk membawa sesuatu kepada pasukan, jadi saya fikir secara keseluruhannya ia adalah prestasi dan keputusan yang baik dari pada pasukan,” kata Mourinho ketika memberitahu penyiaran BT Sport.

Gareth Bale diturunkan dalam kesebelasan utama tetapi pemain pinjaman dari Real Madrid itu terlepas tiga peluang terbaik pada awal permainan.

Sebaliknya, Spurs terpaksa bangkit dari ketinggalan apabila Fred Onyedinma membuka jaringan untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-25.

Japhet Tanganga dan Moussa Sissoko melihat cubaan mereka terkena palang untuk Spurs sebelum Bale menebus kegagalan awal dengan gol penyamaan pada minit akhir sebelum rehat.

Tottenham menanti kunjungan Liverpool dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Khamis ini tetapi Mourinho tidak memikirkan tentang perlawanan penting itu ketika beliau cuba menamatkan kemarau 13 tahun tanpa kejuaraan di kelab apabila memasukkan Kane, Son dan Ndombele selepas rehat.

Tambahan 30 minit permainan sememangnya apa yang tidak dimahukan oleh Spurs dan mereka akhirnya menjaringkan gol pendahuluan apabila Harry Winks merembat bola dari hujung kotak penalti selepas cubaan Kane ditepis penjaga gol Ryan Allsop.

Ndombele adalah pemain berbeza sejak beberapa minggu selepas musim pertama yang sukar di England ekoran perpindahan dari Lyon.

Beliau mengumpan bola kepada Son untuk gol ketiga dan kemudian mempamerkan kemahirannya dengan melengkapkan jaringan pada minit kecederaan.

“Beliau sangat kreatif. Beliau adalah salah seorang pemain yang boleh mengubah keputusan,” kata Mourinho ketika bercakap tentang Ndombele yang mulai membalas pelaburan 60 juta euro kelab untuk membelinya dari Lyon.

“Selain dari itu ,beliau boleh menjaringkan gol untuk kami.”

Spurs akan menentang Everton di pusingan kelima kejohanan bulan hadapan. — AFP

Advertisement