Anda di sini

Bantuan gajet elak pelajar ketinggalan matapelajaran

Advertisement
NORAINI
NORAINI

TAWAU : Sistem pendidikan berdepan satu perubahan drastik susulan penularan pandemik COVID-19 yang menuntut hampir keseluruhan pelajar di negara ini belajar secara dalam talian.

Ramai di kalangan ibubapa pelajar kurang bersedia dengan perubahan ini kerana ianya bukan sahaja satu tindakan yang mengejut tetapi sangat membebankan kepada keluarga kurang berkemampuan terutamanya golongan B40.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Hajiji Haji Noor akan mempertimbangkan untuk membantu golongan tersebut termasuk menyediakan gajet bagi memudahkan pelajar mengikuti pembelajaran dalam talian.

Penduduk, Noraini Mohd Musah, 60, berkata pihak kerajaan negeri perlu mempertimbangkan dan melaksanakan bantuan segera pemberian gajet tersebut supaya pelajar daripada golongan tersebut tidak ketinggalan pembelajaran.

"Bantuan itu sangat wajar kerana pelaksanaan pembelajaran secara dalam talian merupakan satu-satunya kaedah yang berkesan pada ketika ini seperti yang disarankan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Sepatutnya bantuan ini sudah difikirkan sebelum bermulanya waktu persekolahan supaya pelajar terutamanya keluarga kurang berkemampuan sudah boleh akses pembelajaran pada masa sekarang,"katanya.

Beliau berkata, bagi keluarga yang berkemampuan dan tinggal di kawasan bandar mungkin tidak mempunyai banyak masalah dengan kaedah pembelajaran atas talian.

"Namun, mereka yang tinggal di kawasan pendalaman pula sistem pembelajaran ini sangat membebankan lebih-lebih lagi ada tempat yang langsung tidak mendapat capaian Internet yang baik.

"Kerajaan harus memberi fokus berkenaan masalah ini dan tidak bertangguh lagi kerana pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan dan tingal di pendalaman sudah banyak ketinggalan subjek pembelajaran,"katanya.

Noraini berharap kerajaan perlu meluluskan peruntukan khas itu dengan kadar segera demi kelangsungan masa depan dan kualiti pembelajaran modal insan di negeri ini. 

IDRIS
IDRIS

Pendapat itu turut disetujui Idris Syamsudin, 42, yang beranggapan pemberian gajet kepada pelajar keluarga kurang berkemampuan perlu disegerakan dan tidak perlu ada pertimbangan lagi.

Bapa kepada empat orang anak ini berkata pembelajaran secara talian ini sangat sukar dilaksanakan oleh keluarga yang mempunyai anak yang ramai.

"Setiap anak yang bersekolah perlu mempunyai gajet sendiri kerana matapelajaran mereka berbeza-beza tetapi pembelajaran dilakukan pada masa yang sama.

"Golongan B40 terutamanya tidak mampu menyediakan gajet kepada setiap anak mereka kerana untuk penyediaannya itu memerlukan kos yang sangat tinggi,"katanya.

Menurutnya, dengan adanya bantuan tersebut bukan sahaja dapat membantu meringankan beban kewangan rakyat tetapi dapat merealisasikan sistem pembelajaran dalam talian ini berjaya kepada semua golongan.

"Kemungkinan besar pembelajaran ini akan menjadi norma baharu atau kaedah tambahan dalam sistem pembelajaran di negara kita walaupun pandemik COVID-19 sudah beransur pulih.

"Oleh itu, pihak kerajaan perlu bersedia untuk membantu setiap pelajar untuk melakukannya dengan baik terutamanya pemberian gajet mengantikan buku teks dan capaian Internet yang baik,"katanya.

  • oleh
  • Advertisement