MILAN: Hirving Lozano menjaringkan gol seawal sembilan saat selepas sepak mula namun Napoli tetap tumbang 1-3 di Hellas Verona, sekali gus membolehkan Juventus naik ke empat tangga teratas Serie A Itali selepas menewaskan Bologna pada Ahad.
Juventus, yang memburu kejuaraan liga yang ke-10 berturut-turut, menang 2-0 pada perlawanan awal untuk kurang tujuh mata di belakang pendahulu liga, AC Milan dan dengan kurang satu perlawanan.
Milan mengekalkan kedudukan di tangga teratas walaupun tewas 0-3 kepada Atalanta sementara Inter hanya mampu seri tanpa jaringan dengan Udinese.
Napoli terlepas peluang memintas Juventus dan kekal di tangga keenam liga, dua mata di belakang Juventus tetapi berkongsi 34 mata dengan Lazio, yang menewaskan Sassuolo 2-1.
“Kami harus menyalahkan diri kami sendiri,” kata jurulatih Napoli, Gennaro Gattuso.
“Jika anda menjaringkan gol dan kemudian pada peluang pertama anda gagal, ia sememangnya tidak bagus.
“Kami mahu kembali ke Liga Juara-Juara tetapi kami tidak akan dapat melakukannya jika bermain seperti ini.”
Napoli bermula cemerlang di Verona apabila hanya mengambil masa sembilan saat dari sepak mula apabila Lozano menjaringkan gol terpantas Napoli dalam Serie A apabila pertahanan Verona, Federico Dimarco gagal menangani umpanan jauh Diego Demme.
Namun Dimarco menebus kesilapannya dengan menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-34.
Antonin Barak meletakkan Verona di hadapan buat kali pertama tidak lama selepas satu jam permainan dengan rembatan dari sudut sukar sebelum Mattia Zaccagni melengkapkan jaringan ketika berbaki 11 minit permainan.
Penjaring terbanyak Napoli, Dries Mertens dan Victor Osimhen, yang kembali dari kecederaan dan juga dijangkiti COVID-19, dimasukkan dalam separuh masa kedua tetapi tetap gagal membantu pasukan bangkit.
Napoli berkongsi mata dengan Lazio, yang bangkit menewaskan Sassuolo untuk meraih kemenangan keempat berturut-turut.
Francesco Caputo membuka jaringan buat Sassuolo seawal minit keenam perlawanan di Stadio Olimpico tetapi Sergej Milinkovic-Savic mengikat kedudukan dengan satu tandukan kencang pada minit ke-25.
Ciro Immobile menjaringkan gol kemenangan ketika berbaki 19 minit permainan untuk gol ke-13 beliau musim ini.
Juventus kembali ke landasan kemenangan selepas tewas 0-2 kepada Inter Milan minggu lepas apabila menewaskan Bologna di Turin untuk mengekalkan harapan mempertahankan kejuaraan liga.
Arthur membuka jaringan pada minit ke-15 dengan satu rembatan jarak jauh yang terkena pertahanan Bologna, Jerdy Schouten dan masuk ke pintu gol.
Ia adalah gol pertama untuk bekas pemain Barcelona dalam 19 penampilan sejak menyertai Juventus pada musim panas dari Barca dengan yuran perpindahan sekitar 82 juta euro.
Pemain tengah, Weston McKennie, menjaringkan gol kedua pada minit ke-71 untuk gol keempat beliau dari 21 perlawanan sejak berpindah dari Schalke.
Juventus boleh menambah beberapa jaringan sekiranya tidak kerana ketangkasan penjaga gol Bologna, Lukasz Skorupski, yang menafikan cubaan Adrien Rabiot dan Cristiano Ronaldo pada lewat permainan.
Pada perlawanan lain, Genoa, yang bersaing mengelak penyingkiran, menewaskan Cagliari 1-0 menerusi gol Mattia Detro.
Kekalahan itu adalah yang keenam berturut-turut buat Cagliari, yang mengesahkan lanjutan kontrak untuk jurulatihnya, Eusebio Di Francesco. — AFP