Anda di sini

‘Resah’ lagu salam perkenalan Dallen Fabian sebagai penyanyi

Advertisement
 Jun dan Ketua Kombo RTM Sabah Raimon Sukudat turut mengiringi persembahan Dallen Fabian sempena majlis pelancaran single penyanyi itu yang berlangsung di Vok Cafe, Gaya Street Kota Kinabalu.
RESAH: Jun dan Ketua Kombo RTM Sabah Raimon Sukudat turut mengiringi persembahan Dallen Fabian sempena majlis pelancaran single penyanyi itu yang berlangsung di Vok Cafe, Gaya Street Kota Kinabalu.

RESAH karya lagu terbaharu ciptaan komposer muda asal Sabah iaitu Michidonne Michael atau lebih dikenali sebagai Don dalam usahanya mewarnai lagi industri muzik tanahair.

Menariknya, tajuk lagu itu bagaikan senada dengan situasi terkini penduduk di negara ini bahkan di seluruh dunia yang kini resah menghadapi ancaman pandemik COVID-19.

Malah, pelancaran single itu dijalankan di Vok Cafe, Gaya Street Kota Kinabalu pada bulan ini sehari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan di Sabah.

Sekali lagi, Don juga memberikan kepercayaan kepada penerbit dan pemuzik Sabahan, Alejandro Tingzon Jr Jun melalui Juntingzon Production untuk menerbitkan lagu itu.

Malah, Jun juga bukan sekadar bertindak sebagai penerbit single terbabit tetapi turut bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja susunan muzik komposisi lagu berkenaan.

Penyanyi baharu, Dallen Fabian, 23, bersyukur kerana diberikan kepercayaan untuk mendendangkan lagu itu sekaligus sebagai salam perkenalan dirinya dalam industri.

“Ketika menerima lagu ‘slow rock’ ini daripada Don, saya terus tertarik hati kerana suka dengan komposisi muzik dan susunan liriknya,” katanya kepada Utusan Borneo.

Pemuda asal Manggatal itu juga mengakui tidak mempunyai masalah menyanyikan lagu terbabit kerana liriknya sedikit sebanyak berhubung kait dengan pengalaman hidupnya.

Pada masa sama, Dallen tidak menyangka pertemuannya dengan Don di sebuah pusat hiburan di ibu negeri juga akhirnya membuatkan impian menyanyi lagu sendiri tercapai.

“Selama ini saya biasa menyanyi di kelab, karaoke dan menyertai pertandingan nyanyian secara atas talian (online),” katanya, sambil akui meminati Awie Wings dan HyperAct.

Mengulas lanjut, beliau berterima kasih dengan ahli keluarganya yang menyokong penuh minatnya menceburi bidang nyanyian secara serius terutama sekali ibu kandungnya.

Beliau turut berharap single itu mendapat sambutan baik daripada warga pendengar sekaligus membuka peluang untuk menembusi pasaran industri di seluruh negara.

Don yang ditemui pula menyifatkan pemilihan Dallen Fabian walaupun masih baharu, namun mempunyai kualiti suara yang bagus dan sesuai untuk membawa lagu Resah.

“Saya juga masih baharu dan menjalani proses memahami industri muzik dalam pelbagai sisi kerana selama ini saya tidak terdedah dengan industri sehingga terjumpa dengan Jun.

“Namun, secara keseluruhannya saya berpuas-hati dengan cara Dallen Fabian menyampaikan lagu ini dan saya percaya dia sebenarnya berbakat besar,” katanya.

Ketika pertama kali bertemu Dallen Fabian, beliau berkata tertarik selepas mendengar suara penyanyi terbabit membawa lagu ‘Suralaya Dalam D Major’ (Amy Search).

“Kita berharap lagu ini mendapat tempat dalam stesen-stesen radio tempatan dan turut menerima sambutan baik warga pendengar khususnya pecinta muzik tempatan,” katanya.

Don yang turut menghasilkan lagu ‘Epilog Cinta’ dan dipopularkan oleh Rachel Wesley Pai, berhasrat untuk melancarkan lebih banyak lagu dengan variasi penyanyi kelak.

Ditanya berhubung pendapatnya mengenai kemampuan Dallen Fabian pula, Jun berkata sebagai penerbit lagu beliau menyukai variasi vokal daripada penyanyi baharu terbabit.

“Ada penyanyi baharu yang temberang tetapi dia sentiasa mahu bekerja dan belajar, saya percaya kualiti terus menggali ilmu itu akan menentukan hala tuju masa hadapannya.

“Ramai orang boleh terkenal sekelip mata tetapi tanpa ilmu sukar bertahan lama dalam industri sebab itu saya senang dengan Dallen Fabian kerana sentiasa belajar,” katanya.

Begitupun, Jun berharap liputan daripada media massa arus perdana akan dirancakkan lagi dari masa ke semasa sekaligus membantu menyemarakkan industri hiburan tempatan.

  • oleh
  • Advertisement