LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan menyeludup masuk 2,200 bungkus rokok di persisir Pantai Tandu, Tungku, di sini.
Menurut Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu, Superintendan Gan Ping Sin, aktiviti penyeludupan itu dikesan menerusi tugasan rondaan malam yang mengesan sebuah bot jenis pam bergerak di kawasan perairan dalam keadaan mencurigakan.
"Lebih kurang jam 8.30 malam, sepasukan rondaan bergerak yang meronda di sepanjang laut Merabung hingga ke laut Sahabat 16 telah terserempak sebuah bot jenis pam yang dalam keadaan mencurigakan.
Pasukan telah mengejarnya dari arah laut hingga ke pesisir pantai sebelum bot itu terkandas di kawasan daratan hingga ke pesisir pantai Tandu," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati juragan bot telah melarikan diri ke arah darat dan gagal dikesan.
Katanya, setelah pemeriksaan lanjut ditemukan sejumlah 2,200 bungkus rokok jenama Astro Filter King dan L3 Menthol disyaki rokok tidak bercukai.
Turut ditemui sejumlah wang dalam mata wang asing berjumlah 2,140 Peso.
"Jumlah rampasan rokok dianggarkan bernilai RM 31,944 selepas cukai manakala nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 39,944 termasuk sebuah perahu dan dua unit enjin pam," katanya.
Gan berkata, kesemua barang rampasan telah dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut dan kes rampasan rokok disiasat dibawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Beliau seterusnya mengalu-alukan komuniti pesisir pantai untuk menyalurkan maklumat sebarang tindakan menyalahi undang-undang di kawasan perairan mereka.
"Orang ramai boleh menyalurkannya melalui aplikasi WhatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 013-2831197 atau berhubung terus ke Markas Operasi PPM Lahad Datu di talian 013-9808084 agar tindakan dapat diambil seterusnya memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat maritim terjaga dan terkawal," katanya.