Anda di sini

Kerajaan pertimbang beri gajet kepada pelajar kurang mampu

Advertisement
 Hajiji bersama-sama dengan Jeffrey melihat kerja-kerja pembaikan di jalan yang rosak di KM44.7 Jalan Kota Kinabalu - Penampang - Tambunan.
TINJAU: Hajiji bersama-sama dengan Jeffrey melihat kerja-kerja pembaikan di jalan yang rosak di KM44.7 Jalan Kota Kinabalu - Penampang - Tambunan.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan langkah termasuk menyediakan gajet kepada pelajar yang kurang berkemampuan untuk belajar secara atas talian.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, langkah berkenaan bagi membantu pelajar yang kurang bernasib baik untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Menurutnya,  kerajaan faham dengan keperluan rakyat dan pelajar di kawasan luar bandar yang berdepan dengan masalah liputan internet  terutama semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sehubungan itu, pihaknya akan mempertimbangkan usaha untuk memberi kemudahan seperti gajet kepada pelajar yang kurang berkemampuan.

"Saya faham ramai murid-murid yang kurang berkemampuan. Justeru, kita akan fikirkan untuk memberi bantuan kepada mereka yang terlibat terutama murid-murid sekolah," katanya kepada media selepas meninjau kawasan tanah runtuh di Jalan Penampang-Tambunan hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga dalam usaha meningkatkan liputan internet di Sabah menerusi Pelan Jaringan Digital Negara (JENDELA).

Selain itu katanya, kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan sebanyak RM2.5 bilion untuk pembangunan komunikasi digital di negeri ini.

Hajiji berkata, kira-kira 2,000 menara telekomunikasi akan dinaik taraf dan sekitar 400 menara baharu bakal dibina dalam tempoh dua tahun ini.

Bagaimanapun jelasnya, pelaksanaan PKP turut melambatkan proses pelaksanaan pelan JENDELA di Sabah.

Sehubungan itu, pihaknya berharap selepas PKP tamat, kerja-kerja pelaksanaan akan diteruskan semula semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

  • oleh
  • Advertisement