Anda di sini

Dua lelaki dikompaun langgar perintah kuarantin

Advertisement
 OKK yang ditahan di Kampung Rancangan Klias kerana melanggar perintah kuarantin.
DIKOMPAUN: OKK yang ditahan di Kampung Rancangan Klias kerana melanggar perintah kuarantin.

BEAUFORT: Dua lelaki yang masih menjalani arahan kuarantin dikompaun selepas didapati berkeliaran di sekitar kampung dan merisikokan orang lain.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak berkata, kedua-dua kes pelanggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terbabit berlaku pada 25 Januari lepas di Kampung Kelabu dan Kampung Rancangan Klias dekat sini.

Menurutnya, kes pertama membabitkan orang kena kuarantin (OKK) berumur 36 tahun yang dikenakan kompaun kira-kira jam 9.10 malam di Kampung Kelabu.

Katanya, kes kedua melibatkan OKK berumur 51 tahun di Kampung Rancangan Klias yang dikompaun kira-kira jam 10 malam.

"Sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort bergerak ke kediaman OKK berdasarkan maklumat orang awam berkenaan pelanggaran perintah kuarantin.

"Kompaun dikeluarkan ke atas kedua-dua OKK kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Per.13 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit No.9 Tahun 2020," katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau turut menasihatkan agar individu-individu yang diarahkan kuarantin oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk terus tinggal di dalam rumah sehingga tempoh kuarantin selesai.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui pasukan penguat kuasa akan sentiasa memantau senarai-senarai nama individu-individu yang diarahkan kuarantin oleh pihak KKM.

 Polis turut mengenakan kompaun terhadap OKK di Kampung Kelabu.
OKK: Polis turut mengenakan kompaun terhadap OKK di Kampung Kelabu.

Azmir berkata,  pihaknya akan membuat pemeriksaan mengejut jika individu-individu terlibat melanggar perintah kuarantin yang diberikan.

"Seperti yang ditegaskan sebelum ini oleh Ketua Pengarah KKM Tan Sri Noor Hisham Abdullah dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali, fasa menasihati sudah tamat dan hanya tindakan kompaun akan terus dikenakan.

"Jika didapati sesiapa yang melanggar perintah kuarantin serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditentukan oleh kerajaan," jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement