Anda di sini

60 peratus pemegang AP import daging dimiliki syarikat bumiputera - Kiandee

Advertisement
 

KUALA LANGAT: Sebanyak 60 peratus daripada jumlah keseluruhan pemegang permit import (AP) daging terdiri daripada syarikat dimiliki oleh golongan bumiputera, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (gambar).

Beliau berkata antara pemegang AP daging syarikat bumiputera ialah Ramly Food Processing Sdn Bhd dan Darabif Meat Company yang berkeupayaan mengimport daging dalam jumlah besar.

"Daripada segi jumlah daging yang diimport, ia bergantung kepada keupayaan syarikat berkenaan. Dua syarikat ini berupaya mengimport daging dalam kuantiti yang besar dan mampu bersaing dengan syarikat bukan bumiputera," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke pusat pengumpulan hasil tanaman Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang dilaporkan media baru-baru ini mengatakan hanya 10 peratus pemegang AP daging terdiri daripada syarikat bumiputera.

Sementara itu, mengulas mengenai syarikat pemegang AP disenarai hitam kerana melanggar syarat, Kiandee berkata pihaknya masih menunggu hasil siasatan daripada agensi berkaitan.

"Kita masih menunggu hasil siasatan. Kes berkaitan AP daging ini sedang disiasat oleh beberapa agensi antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Kastam Diraja Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

"Jika terdapat pelanggaran syarat AP ini, MAFI akan mengambil tindakan tegas," katanya.

Baru-baru ini, MAFI dilaporkan sedia membatalkan AP syarikat yang didapati terlibat dalam kartel pengedaran daging sejuk beku tanpa sijil halal dan tidak akan bertolak ansur jika ada kakitangan kementerian itu terbabit dalam isu berkenaan. - Bernama

Advertisement