PITAS: 4,900 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada 76 buah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pitas terima bantuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pitas Datuk Seri Ruddy Awah berkata, Kerajaan Negeri melalui Pusat Bantuan Bencana akan terus menyalurkan bantuan bakul makanan kepada penduduk Sabah yang terjejas akibat bencana.
"Bantuan itu disalurkan kepada penduduk di kampung-kampung yang terputus hubungan dan bekalan makanan ekoran hujan yang berlarutan sehingga seminggu.
“Pihak ADUN Pitas dan saya sendiri tidak putus-putus mengedarkan bantuan kepada semua mangsa banjir. Sebagai wakil rakyat saya terpanggil untuk tampil membantu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau yang juga Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, hujan yang berterusan seminggu lalu menyebabkan banyak kampung terputus hubungan jalan raya akibat banjir dan menyebabkan bekalan makanan terputus.
Katanya, bantuan bakul makanan yang diedarkan adalah sumbangan dari Kerajaan Negeri dan sumbangan peribadinya termasuk kos penghantaran ke kawasan pendalaman menggunakan lori dan sampan juga dibiayai oleh beliau sendiri.
Menurutnya, beliau sendiri telah menambah sebanyak 2,500 bakul makanan kepada penduduk kawasan Pitas yang terjejas akibat banjir.
Beliau juga berterima kasih kepada agensi kerajaan, individu dan badan bukan kerajaan yang terlibat dalam memberikan bantuan berkenaan.
Dalam pada itu, Ruddy turut menyampaikan sumbangan pelitup muka dan lampu solar daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) kepada Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Pitas.