Anda di sini

Kelebihan AC Milan di puncak berkurang kepada dua mata

Advertisement
 Penjaga gol AC Milan, Donnarumma melihat bola masuk ke gawangnya pada aksi perlawanan Serie A menentang Atalanta di Stadium San Siro. — Gambar AFP
BOLOS: Penjaga gol AC Milan, Donnarumma melihat bola masuk ke gawangnya pada aksi perlawanan Serie A menentang Atalanta di Stadium San Siro. — Gambar AFP

MILAN: AC Milan kekal di tangga teratas Serie A Itali pada Sabtu walaupun tewas 0-3 di tempat sendiri kepada Atalanta, selepas pencabar terdekat, Inter Milan, diikat tanpa jaringan di Udinese.

Milan, yang dibimbing Stefano Pioli, melihat kelebihan mata di tangga teratas mereka dikurangkan kepada dua mata oleh Inter tetapi mengekalkan kedudukan mereka pada pertengahan musim untuk kali pertama sejak kali terakhir memenangi kejuaraan liga pada 2011.

“Menjadi juara musim sejuk tidak memberi sebarang makna bagi saya, sekarang kami harus bangkit,” kata bintang veteran Milan, Zlatan Ibrahimovic.

Milan jelas hilang rentak dengan Cristian Romero membuka jaringan buat Atalanta pada minit ke-26 perlawanan di San Siro.

Josip Ilicic menambah jaringan dari sepakan penalti lapan minit sebelum rehat selepas dikasari Franck Kessie.

Ibrahimovic terlepas peluang mengikat kedudukan sebelum rehat apabila cubaannya tersasar.

Pemain baharu Milan, Mario Mandzukic, dimasukkan dari bangku simpanan pada 20 minit terakhir tetapi gagal memberi sebarang impak pada penampilan sulungnya namun ada menguji penjaga gol Atalanta, Pierluigi Gollini.

Duvan Zapata menyempurnakan hantaran Romero untuk melengkapkan jaringan.

Buat kali pertama musim ini, Milan gagal menjaringkan sebarang gol dan tewas buat kali kedua dalam liga selepas tewas kepada Juventus pada awal bulan.

Kemenangan melonjak Atalanta ke tangga keempat liga, tujuh mata di belakang Milan dan dua mata di belakang AS Roma yang naik ke tangga ketiga selepas menewaskan Spezia 4-3.

Jurulatih Atalanta, Gian Piero Gasperini memuji “salah satu prestasi terbaik kami sejak beberapa tahun”.

“Malam ini kami cukup kuat dalam semua posisi, ia satu kepuasan untuk bermain seperti ini di San Siro.”

Inter gagal mengekalkan rentak dari kemenangan ke atas Juventus minggu lepas dan peluang untuk melonjak ke tangga teratas apabila diikat di Udinese.

Peluang juga kurang untuk Inter dengan gol Lautaro Martinez tidak dibenarkan kerana ofsaid dan Nicolo Barella melihat cubaannya tersasar.

Kekecewaan memuncak dengan jurulatih Inter, Antonio Conte, diperintah meninggalkan padang pada akhir permainan kerana mempertikai keputusan pengadil.

“Saya fikir lebih banyak masa harus diberikan pada masa tambahan. Saya menjelaskan kepada pengadil dan beliau menyingkirkan saya,” kata Conte.

Di Rom, Lorenzo Pellegrini menjaringkan gol kemenangan minit akhir ketika Roma bangkit selepas tewas kepada lawan yang sama dalam Piala Itali untuk menang 4-3 dalam liga.

Pellegrini menjaringkan gol kemenangan pada minit kecederaan, beberapa minit selepas Daniele Verde mengikat kedudukan 3-3 buat Spezia.

Roma berada dalam masalah sejak tewas 2-4 dalam masa tambahan dalam Piala Itali Selasa lepas.

Dengan keputusan rasmi ditukar kepada 0-3 pada Jumaat selepas Roma melakukan enam pertukaran, dengan hanya lima pertukaran pemain dibenarkan pada perlawanan yang berakhir dengan sembilan pemain masih dalam padang.

Kapten Roma, Edin Dzeko, tidak diturunkan kerana kecederaan walaupun ada laporan beliau tidak sehaluan dengan jurulatih Paulo Fonseca.

Borjal Mayoral menjaringkan dua gol untuk pasukan tuan rumah, gol pertama selepas 15 minit permainan tetapi Roberto Piccoli mengikat kedudukan tujuh minit kemudian buat Spezia.

Mayoral menjaringkan gol kedua pada minit ke-52 sebelum Rick Karsdorp menjadikan kedudukan 3-1 tiga minit kemudian.

Diego Farias merapatkan kedudukan selepas satu jam permainan dan ketika Roma membayangkan kemenangan, Verde mengikat kedudukan pada minit ke-90.

Pellegrini bagaimanapun mengelak permainan berkesudahan dengan seri apabila menjaringkan gol kemenangan dari jarak dekat.

Ia adalah kemenangan liga yang pertama buat Roma dari tiga perlawanan, selepas tewas kepada Lazio dan seri dengan Inter Milan.

Pada perlawanan lain, Fiorentina, mengurangkan tekanan penyingkiran apabila menewaskan kelab tercorot, Crotone 2-1. — AFP

Advertisement