Anda di sini

Kekurangan buruh dalam industri sawit beri kesan lebih parah berbanding penurunan harga

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kekurangan buruh memberi kesan yang lebih parah berbanding dengan penurunan harga global, baik kepada estet mahupun pekebun kecil, menurut kajian Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).

Ia menjelaskan, mengikut dapatan kajian ‘Implications of the Dominant Shift to Industrial Crops in Malaysia: System Dynamic Model of Industrial Crops’ yang baharu diterbitkannya, pengurangan buruh sebanyak 30 peratus daripada paras semasa akan menyebabkan pengeluaran menurun hampir separuh.

“Pengurangan sebanyak 80 peratus akan menyebabkan keruntuhan sistem kerana pengeluaran hanya mencapai satu perlima daripada paras biasa,” menurut KRI dalam kenyataan hari ini.

Ketua Penyelidik kajian ini, Prof Dr Datin Paduka Fatimah Mohamed Arshad yang juga Felow Pelawat Kanan KRI berkata justeru, penularan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing estet boleh menjejaskan prestasi industri dengan ketara.

“Maka, peserta industri perlu mengakuri sepenuhnya prosedur operasi standard COVID-19, memperbaiki perumahan pekerja dan menerap pendigitalan untuk mengurangkan penggunaan tenaga manusia dalam beberapa proses pengeluaran,” katanya.

Menurut KRI, matlamat kajian itu adalah mengenal pasti campur tangan polisi utama ke arah pencergasan semula sektor pertanian dengan menggunakan kaedah permodelan sistem dinamik.

Objektif khusus adalah mengenal pasti faktor institusi, struktur dan polisi yang menyebabkan peralihan besar penanaman kelapa sawit; mengenal pasti faktor yang menyebabkan produktiviti rendah; membina model sistem dinamik untuk menerangkan kaitan antara faktor-faktor ini serta melaksanakan simulasi polisi campur tangan alternatif, menurutnya.

Kajian ini mendapati sektor berkenaan akan berdepan dengan paras siling keluasan tanah untuk kelapa sawit yang dihadkan seluas 6.5 juta hektar menjelang 2023 dengan 5.9 juta hektar diusahakan oleh estet dan 986,000 hektar oleh pekebun kecil (17 peratus) pada 2019.

Ia turut mendapati sokongan pembangunan ke atas pekebun kecil akan memberi impak yang lebih besar ke atas pulangan per hektar berbanding estet.

Bagi mengurangkan pergantungan kepada tanah demi meningkatkan pengeluaran dan pulangan, hasil buah tanda bersih (BTB) sehektar boleh ditingkatkan melalui pemesatan tanaman semula dan mengurangkan kos input (selain buruh).

“Lazimnya, purata pecahan penanaman semula sektor kelapa sawit adalah sekitar 12 peratus. Bererti, 12 peratus daripada keluasan kelapa sawit yang terlebih matang ditanam semula setiap tahun.

“Namun, mengikut simulasi kajian, pecahan tanaman semula optimum yang memberi hasil BTB yang tinggi adalah 15 peratus untuk estet dan 17 peratus bagi pekebun kecil,” menurut KRI.

Ia menekankan pada masa sama, sokongan pembangunan kepada pekebun kecil akan memberi impak besar ke atas pulangan manakala pelaburan kepada pekebun kecil akan menjana pertumbuhan yang inklusif, agihan yang setara sekali gus kelestarian industri kelapa sawit.

Sejarah menunjukkan Malaysia pernah menerajui sebagai pengeluar utama dunia getah dan koko bagaimanapun dari semasa ke sesama berlakunya peralihan besar kepada kelapa sawit, menurut KRI.

Fatimah menjelaskan kajian itu mendapati peralihan besar kepada penanaman kelapa sawit dipacu oleh pulangannya yang tinggi berbanding dengan getah dan koko.

Daripada lapan juta hektar tanah pertanian di Malaysia, hampir tiga perempat atau enam juta hektar adalah ditanam dengan kelapa sawit, manakala bahagian getah dan koko semakin berkurangan masing-masing pada 14 peratus dan dua peratus.

“Hanya 10 peratus tanah pertanian digunakan untuk komoditi makanan,” menurutnya. - Bernama 

Advertisement